Followers- Jalinan Ukhuwah

Friday, September 14, 2012

Nukilan Rasa: Ramadan dan Perjalanan PhD



Buku 'Bila Pintu Hati Terbuka' (BPHT) sudah lebih kurang 2 tahun di pasaran. Dari sudut penjualan,  buku ini agak perlahan namun saya berharap idea dan perkongsian buku ini tidak terhenti disini. Ianya seharusnya bukan saja di baca tetapi perlu diamalkan. Banyak tips kehidupan dimuatkan di dalam buku ini. Ianya mampu memberi motivasi ketika diri di landa sepi.

Saya menulisnya kerana saya menghargai diri saya....



Di bawah ini saya petik nukilan rasa dari blog mamalal.blogspot.com (diekstrak copy paste pada 14 Sept 2012) mengenai buku ini. ibu muda ini sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang aplikasi teknologi dalam perspektif Islam. Secara khusus mengenai keibuan/susu ibu. Kita sebagai hamba ALLAH, seharusnya menyokong usaha adik kita yang masih muda ini untuk membuat kajian dengan harapan dapat meningkatkan kualiti ummah. 

InsyaALLAH, Kelab Haji Muda akan terus menyokong usaha ini yang menjadi salah satu teras penubuhan KHM bagi membentuk semangat pra/pasca haji/umrah. Sebagaimana yang ditekankan dalam buku BPHT, ayuhlah kita berganding bahu melahirkan, 

'Satu Rumah Satu Dr', satu aspirasi peribadi saya yang perlu diusahakan secara kolektif bersama anda semua. MasyaAllah TabarakALLAH.


Tajuk:  Ramadan 1433H dan Perjalanan PhD

Sukar untuk saya gambarkan bagaimana perasaan saya dalam konteks pelajar PhD semenjak berlalunya Ramadhan 1433H (Ogos 2012M). Sehingga kini, 20 Syawal 1433H, saya masih teringat-ingat manisnya Ramadhan. Terkadang hati rasa sayu dan sebak bila memikirkan sempatkah aku menemui Ramadhan tahun depan?.. Benar, saya sangat sebak. Ramadhan yang lalu, saya tekadkan azam untuk 'Tidak Rugi Lagi'... Saya pertingkatkan amalan sunat, jauhi perkara lagha, dan berazam untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan terutamanya 10 malam terakhir. 20 malam pertama Ramdhan, saya hanya berjaya bangun untuk solat tahajud hanya sebanyak 5 hari sahaja. Saya sangat kecewa kerana target saya adalah bangun sekurang-kurangnya selang sehari. Tetapi, itulah tahap iman saya. Pabila tiba malam 21 Ramadhan, saya kuatkan tekad untuk qiyamullail setiap malam, bangun seawal jam 3 pagi (beriktikaf di masjid) agar saya dapat mengecapi anugerah malam seribu bulan (yakni Lailatul Qadar-LQ)...

Sepanjang Ramadhan, saya memohon agar Allah SWT mengurniakan saya LQ. Ramadhan tahun ini memang berbeza. Keinginan kuat dan mendalam untuk mengejar LQ sangat hebat. Tidak seperti Ramadhan tahun-tahun yang lalu. Mungkin jika benar ia adalah kesan dari program yang saya hadiri bertajuk "Ramadhan dan Perjalanan PhD" pada Julai 2012 bertempat di IPG Bangi. Pada mulanya saya agak 'malas' untuk menghadiri program tersebut, tetapi saya gagahkan juga hati, biarpun pergi seorang diri (memang kebanyakan seminar, bengkel, program yang saya hadiri adalah seorang diri).

Syukur padaMu Ya Allah yang telah menemukan saya dengan seorang yang bagi saya sangat hebat dari segi misi, visi, wawasan, strategi dan tips-tips dalam menempuh PhD. Itulah Dr Ridzwan Bakar (blog beliau: http://ridzwan-bakar.blogspot.com/). Semasa mendengar ceramah beliau mengenai bagaimana Ramadhan dapat mengubah perjalanan seorang calon PhD, hati saya masih 'kering' dan hanya menerima sahaja apa  yang disampaikan.

Sehinggalah beliau mempromosikan buku tulisan beliau bertajuk "Bila Pintu Hati Terbuka" iaitu catatan perjalanan beliau menggapai ijazah kedoktoran dalam masa 40 bulan (pelajar separuh masa sambil bekerja di sektor korporat). Pada mulanya, hati berkira-kira untuk membeli buku yang hanya berharga RM15.00, sekali lagi saya gagahkan untuk membeli buku ini.


Rupa-rupanya, buku ini ibarat gedung emas, tersimpan di dalamnya pelbagai khazanah hikmah yang tiada bandingannya. Belum pernah saya temui seorang PhD holder yang berkongsi wawasan semurni ini. Kebiasaannya nasihat yang saya terima dalam perjalanan ini hanyalah berupa duniawi semata-mata. Tetapi Dr Ridz memberi satu sudut pandang yang sangat suci dan murni. Walaupun saya kira matlamat saya untuk memiliki PhD ini sudah jelas, tetapi dengan membaca buku ini, dr Ridz telah menggilap lagi matlamat itu agar ia bersinar dan mampu sampai ke arah yang dituju.

Ramadhan kali ini, jika benar saya telah menemui LQ, saya panjatkan kesyukuran padaMu Ya Ilahi. Tetapi jika belum rezeki saya untuk menikmatinya, maka kurniaMu yang telah menemukan saya dengan sosok tubuh insan mulia bernama Dr Ridz dan pandangan alam yang dikongsikan dalam bukunya ini, maka saya terlebih-lebih bersyukur ke hadratMu Ya Rabbi.

Doa saya semoga perjalanan PhD ini (baca: perjalanan yang amat mencabar ini) sentiasa diberkati, ditunjuki dengan hidayah Allah SWT.

Penutup kata, ingin saya kongsikan kata-kata hikmah yang membuat jiwa saya segar semula dalam menyelusuri perjalan ini...

"PhD bukanlah Permanent head Damage atau Pelajaran habis Dah, tetapi PhD adalah Perjalanan hamba Dhoif"

"PhD adalah perjalanan mencari keagunganNya. Amat manis bagi mereka yang telah melalui proses tarbiah yang amat panjang ini"

"Insan yang tidak menjumpai TUHAN di dalam proses ini adalah insan yang gagal"

"PhD bukanlah perjalanan intelektual semata-mata! Ia juga bukan perjalanan mengasah ego dan pemikiran sempit. Tetapi ijazah kedoktoran adalah perjalanan kecemerlangan emosi dan keluhuran komunikasi dengan manusia serta Tuhan"

akhir sekali...

"Belajar kerana mengejar pangkat dan kemewahan dunia akan hanya menambah beban. Ikhlaskan perjalanan ilmu untuk mencari redhaNya"

7 Sept 2012
Taman Sri Ukay


3 comments:

Anonymous said...

Assalam Dr,
Moga ALLAH tingakkan Kekuatan dan keimanan agar dapat berkongsi ilmu dan tunjuk ajar untuk meningkatkan bekalan akhirat.

Teruskan usaha Dr untuk menulis / terbitan buku baru...agar ianya dapat dimanafaatkan oleh insan yang dahagakan ilmu buat bekalan akhirat.

Salam horamt
kamarjhan

Linda Musa said...

Alhamdulillah. Semoga dipermudahkan perjalanan puan ini dalam mencari ilmu. amen... buat doc, teruskan perjuangan...semoga diberkati setiap usaha oleh Allah buat selamanya.amen ya Rabb

Linda Musa said...

Alhamdulillah. Semoga dipermudahkan perjalanan puan ini dalam mencari ilmu. amen... buat doc, teruskan perjuangan...semoga diberkati setiap usaha oleh Allah buat selamanya.amen ya Rabb