Followers- Jalinan Ukhuwah

Sunday, December 6, 2009

Dunia ini Sebenarnya Luas...

Ketika saya diberi peluang memandu sendiri pesawat ringan di ketinggian 1,000- 2,000 kaki saya dapat melihat helicopter view bandar Segamat. Penerbangan di temani kapten Andreas- kapten bertauliah Akademi Penerbangan, saya dapat menghargai kebesaran Allah kerana dunia ini sebenarnya luas. Bandar Segamat kelihatan luas, mempunyai sungai, bandar, kawasan perumahan dan hutan menghijau. Sayup mata dan kagumnya saya melihat keindahan alam.

Bila menerima arahan untuk saya kembali ke air-base, saya memohon kepada menara kawalan, saya perlukan masa lagi untuk meneruskan penerbangan.

Allah mencipta alam ini begitu luas. Kita sebenarnya diberi kebebasan mengikut acuan Qur’an dan Sunnah Rasul Nya. Namun sebagai manusia, kita sering memfokuskan alam kecil yang telah lama kita cintai. Kita agak sukar keluar dari kelompok dan zon selesa ini. Bila perubahan dicanang, kita liat memberi kerjasama dan memberi pelbagai helah serta alasan.

Di jalanraya, kereta kita dihimpit atau diblok oleh kereta mereka yang miskin akhlaq. Semalam saya ke Jusco Klang. Selepas selesai urusan, berlaku kekecohan di tempat letak kereta. Seorang perempuan Cina sedang memegang besi skru pemutar tayar untuk memecahkan cermin kereta waja yang menyekat kereta beliau. Sememangnya kereta waja ini tidak diletakkan di tempat yang betul, lebih buruk akhlaq- menyekat orang lain yang sudah habis berurusan. Mengapa hendak menghimpit dan menyakiti pemandu kereta yang lain? Bukankah dunia ini luas....?

Suasana masyarakat dan di pejabat juga sama. Kita banyak bertelingkah perkara remeh dan tidak menghormati hak orang lain. Imam masjid tidak mahu berubah selepas di tegur oleh AJK Masjid. Kes-kes ponteng imam bukanlah kisah asing. Bila elaun dipotong, imam akan melenting dan marah-marah. Di pejabat, kita akan melihat keadaan staf marahkan bos yang mahu membimbing mereka supaya menjadi pegawai yang lebih baik dari semalam. Golongan ini akan cari salah bos, mengutuk dan menghukum bos. Bukankah dunia ini luas..., jadi mengapa disempitkan? Ada bos yang mahu mengajak kita naik ke angkasa tetapi kita masih mahu tinggal di alam sempit di bawah tempurung.

Bila menguruskan persatuan penduduk dan masjid, saya perhatikan lebih ramai tukang komen dari sama-sama membantu. Mereka mengkritik apa sahaja usaha pihak masjid dan ada juga yang suka melaporkan ke pihak berkuasa kerana isu remeh. Di sekolah, ada juga segelintir ibubapa yang kaki hentam pihak sekolah tetapi tidak pernah ingin bersama-sama dengan PIBG atau membantu pengurusan sekolah. Di pejabat, surat-surat dan email-email melayang-layang untuk memburukkan rakan pesaing dalam organisasi hanya semata-mata mahu mengejar pangkat dan jawatan.

Seorang sarjana barat ada menyebut ”Lakukanlah apa yang kamu lihat benar, dan palingkan dirimu dari kritikan yang tidak berguna dan negatif.”

Saya berpesan kepada diri saya, pengurusan masjid, persatuan penduduk dan pengunjung setia blog ini :-

1. Janganlah membalas cercaan mereka. Sesungguhnya, kesabaran atas cercaan ini akan dengan sendirinya menguburkan keaiban mereka.

2. Kelembutan kita akan memberi kita penghormatan dan integriti. Dunia ini sebenarnya luas justeru mengapa di sempitkan?

3. Mendiamkan diri akan membuat pendengki dan pengkritik kalah,
4. Dan memaafkan mereka akan dibalas dengan pahala, keampunan dan kemuliaan.

Jangan membalas cercaan orang yang membenci kita kerana mereka membina sendiri tembok kehidupan sempit dan alam kesedihan. Jika anda kaki kritik, ayuh bangun membantu mereka yang anda kritik. Masjid, surau dan badan-badan amal menanti anda.


Dunia ini sebenarnya luas.... jadi mengapa mahu terus selesa hidup di bawah tempurung..?

5 comments:

Naz Mohamed said...

Salam Dr,

Luas dunia ini adalah seluas pemikiran kita. Jika pemikiran kita luas, luaslah dunia walaupun diri terpenjara. Jika pemikiran kita disempitkan, maka sempitlah dunia walau kita bebas ke mana-mana. Suami selalu berpesan kpd anak2, jgn bergaduh krn apabila kita bergaduh, sempitlah dunia kita.

mahayudin said...

Salam Dr Ridzwan,
Terima kasih kerana menulis buku Haji Muda.
Hasrat untuk mengerjakan haji sudah tertanam lama.'Seru' daripada Tabung Haji sudah tiga kali diterima, tetapi saya menolak dengan pelbagai alasan.
Insyaalah pada tahun 2010 tekad dan azam sudah ditanam.Buku Haji Muda seolah melengkapkan persiapan diri sedari awal.
Saya sudah mengerjakan umrah pada tahun 2008.Namun rindu pada Makkah dan Madinah sudah tidak dapat dibendung lagi.
Insyaalah persiapan dari segi mental,fizikal dan ilmu haji sudah dimulakan dari sekarang.
Cuma saya masih mencari kekuatan untuk muhasabah diri.
Insyaalah.
Wassalam.
ps.Kata hikmat dari Buya Hamka...
"..hidup terbina antara suka dan duka,andai terlalu suka hati jadi bosan,terlalu berduka hati jadi rawan...."

ridz said...

Salam ina,
Saya sokong pendapat suami tu.. Lagipun kalau gaduh x dapat apa pun, sekadar melengkapkan ego diri sendiri.

ridz said...

salam mahayudin,
Salam ukhuwah dan terima kasih kerana ziarah saya di teratak virtual ini.

Tahniah kerana bakal menjadi tetamu Allah. Jika perlu khidmat nasihat boleh email saya tigeridz@gmail.com.

almairafashion said...

dunia ini sangat indah dan luas, apabila kita bisa menikmatinya...karena dunia ini diciptakan hanya untuk manusia, tapi kadang manusianya saja yang berpikiran sempit