Pages
Followers- Jalinan Ukhuwah
Sunday, January 27, 2013
Di mana Kita...?
Alhamdulilah sudah 3 hari kita menyambut Maulid Rasul s.a.w . Banyak masjid menganjurkan berbagai program. Rutin tahunan ini sudah biasa dan seolah-olah kita benar faham agenda maulid rasul ini.
Kelmarin selepas solat Jumaat seorang hamba ALLAH (abang sekariah) menemui saya dan bertanya satu soalan cepumas. “Apa pendapat Dr mengenai situasi politik tanahair?” “Siapa yang perlu saya pangkah dalam PRU akan datang?”
Blog ini amat jarang menyentuh persoalan politik tanahair. Tetapi blog ini beberapa kali menyentuh politik di peringkat antarabangsa. Bukan atas kapasiti ketidakmampuan berhujah, tetapi blog ini bukan di bina atas kepentingan politik.
Jawapan saya mudah. Dikala kita berkeringat menyambut Maulid Rasul s.a.w, kita tidak harus lupa bahawa Rasululah s.a.w sentiasa membawa mesej ukhuwah , bertolak ansur, memahami dan menghormati.
Mesej Ukhuwah- Rasululah adalah insan HEBAT yang mampu menyatukan bangsa Arab jahiliah di bawah naungan Qur’an. Persefahaman kaum Ansar dan Muhajirin adalah bukti mesej ukhuwah sangat penting di dalam misi hidup. Bila ukhuwah HEBAT maka musuh dikalangan Yahudi sangat mencemburui kejayaan ini. Apatah lagi bila Islamic State terbina atas dasar aqidah, taqwa dan ukhuwah.
Mesej Toleransi- Rasululah s.a.w membawa mesej bertolak ansur dan saling memahami. Bila kita lihat sejarah terbinanya perjanjian Hudaibiah, biarpun dari sudut akal manusia dan ilmu strategi keputusan Rasululah s.a.w amat merugikan perjuangan, tetapi toleransi dan perdamaian menjadi aspek penting dakwah. Islam bukan agama permusuhan dan bukannya agama keganasan. Jika Islam agama keganasan sudah tentu Rasululah s.a.w membenarkan Saidina Ali memancung sahaja leher wakil Quraish yang biadab ketika itu.
Mesej Memahami dan Menghormati- Rasululah s.a.w menterjemahkan Al-Qur’an dalam bentuk pelaksanaan. Ketika peristiwa Fathul Mekah, puak Quraish gementar bila Rasululah dan rombongan seramai 10,000 orang menghampiri kota Mekah. Mereka tahu, mereka bakal dirembat oleh tentera ALLAH ini. Tetapi Rasulualah s.a.w mengambil pendekatan memahami dan menghormati hak orang lain untuk hidup. Penduduk Mekah diampunkan. InsyaALLAH saya akan kupas perkara ini dalam Ceramah Umrah Kelab Haji Muda pada 3hb Februari ini. Apa kaitan cerita ini dengan Umrah?
Ringkasnya, Rasululah s.a.w menganjurkan ukhuwah fillah, toleransi, memahami dan menghormati orang lain.
Bila suasana politik tanahair kelihatan tidak matang dan “aku sahaja yang betul”, maka hakikatnya KITA SEMUA RUGI. Kita sekarang berada dalam alam yang ‘kalah-kalah’.
Umat Islam Malaysia sangat memerlukan ulama’ yang dihormati dan tidak melacurkan ilmunya. Bila ulama’ tidak dihormati, maka kucar-kacirlah kita. Ulama perlu berdiri teguh atas dasar ilmu dan taqwa serta bersedia mempertahankan aqidah. Tiada tolak ansur dalam aspek aqidah.
Carilah titik kesatuan biarpun kita mungkin mempunyai perbezaan pendapat dan approach. Perbezaan pendapat membuktikan bahawa sesuatu tamadun dan bangsa itu masih hidup, tetapi permusuhan atas perbezaan pendapat akan mentalkinkan tamadun dan bangsa.
“Ya ALLAH, KAU selamatkanlah suasana politik Malaysia dan majukanlah Addeen ini demi survival amanah yang telah KAU pikulkan dibahu kami. Satukanlah para pemimpin politik muslim, para ulama’ dan juga hati-hati kami biarpun mereka dan kami berbeza pendapat dan fahaman politik. Selamatkanlah Islam Malaysia dari kemurkaanMU.” AMin!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment