Pagi tadi saya menerima arahan dari Senior Vice President untuk hadir ke sebuah syarikat public listed company yang dalam proses diambil alih. Dari pengalaman saya di sektor korporat, bila sesebuah syarikat di ambil alih oleh sebuah lagi syarikat, maka beberapa isu kemanusiaan di timbulkan.
Resistance to change adalah satu fitrah. Kadang-kadang kita tidak mahu berubah atau tidak memberi peluang diri kita untuk berubah. Rata-rata maklumbalas staf syarikat ini ialah berkaitan dengan pangkat , gaji dan masa depan mereka khususnya dalam konteks krisis ekonomi yang kian meruncing. Masa depan melibatkan periuk nasi dan survival untuk terus hidup.
Bila saya meletakkan masalah mereka ke dalam diri, sudah tentu saya akan turut merasa bimbang. Lebih teruk jika menerima surat penamatan perkhidmatan. Kerja apa hendak di cari dalam keadaan ekonomi yang tidak baik? Graduan menggangur pula dijangkakan mencecah 40,000 pada pertengahan tahun ini? Sudah tentu persaingan pekerjaan makin sukar.
Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang usahawan. Beliau berkata perniagaan beliau tidak menentu. Anak beliau, seorang arkitek di UK, telah ditamatkan perkhidmatan dan diminta pulang ke Malaysia. Apa anak beliau hendak lakukan di Malaysia?
Berbagai pendapat dan teori kita boleh usulkan. Namun cakap sememangnya mudah sebab kita tidak berada di dalam masalah ini. Kita berada di luar suasana emosi mereka.
Di dalam keadaan sekarang, staf syarikat ini mungkin tiada pilihan yang terbaik kecuali menerima sahaja perubahan. Sekarang bukannya masa yang baik untuk berkira-kira. Ada kerja sudah cukup baik untuk meneruskan kehidupan. Ada gaji walaupun tiada kenaikan gaji tahunan sudah dikira bertuah. Bonus pula tidak boleh diimpikan. Pakej stimulus ekonomi RM10bn belum tentu dapat mengembalikan zaman mewah dahulu.
Mungkin ini adalah peluang yang Allah beri kepada hambaNya untk kembali melutut dan sujud akan kebesaran Allah.
MUTIARA BICARA
Bersyukurlah jika anda masih mempunyai pekerjaan dan masih menerima gaji. Hargailah pekerjaan anda. Lakukanlah yang terbaik kerana ianya adalah satu amanah yang besar. Bantulah dengan sokongan peribadi dan sokongan emosi kepada insan-insan atau saudara mara yang diuji Allah akibat kehilangan pekerjaan. Jika anda sudah lama tidak sujud syukur, lakukanlah hari ini- Hari Jumaat yang diberkati Allah.
No comments:
Post a Comment