TERAPI KEMATIAN I
Semalam selepas sholat Maghrib dan membaca Yasin bersama keluarga, isteri saya berkongsi berkenaan kematian seorang warga emas yang tinggal di sebuah apartmen.
Sebelum melabuhkan tirai malam, saya cuba membayangkan soal kematian. Bagaimana agaknya warga emas ini melalui ujian yang sudah pasti setiap insan akan melaluinya. Samada kita orang yang berusaha untuk membaiki diri, insan yang suka menganiaya orang lain, insan yang berlagak dengan kekayaan atau insan yang ego kaki pembuli jalanan, masing-masing tidak akan mampu lari dari malaikat maut.
Kita akan melalui proses meninggalkan orang-orang yang kita sayang. Kita akan meninggalkan rumah dan bilik kesayangan kita. Kita akan meninggalkan semua yang kita suka termasuk pakaian yang berbagai-bagai fesyen itu. Perjalanan Haji mengajar kita untuk meninggalkan semua yang kita sayang. Kita cuma berpakaian kain kafan putih sebagaimana jamaah Haji dengan ihram putih.
Saya cuba gambarkan perjalanan warga emas ini. Saya cuba meletakkan diri saya dalam situasi warga emas ini.
*****
Bermula dengan perjalanan ke hospital. Ketika di hospital, malaikat maut memberi penghormatan buatku dengan mengambil nyawaku. Anak-anak dan saudara mara mula menangis. Persiapan membawa pulang ke rumah bermula. Dalam perjalanan dengan van jenazah, van cuma melalui lorong rumahku namun tidak pun singgah ke rumah yang amat disayangi itu. Van meluncur laju kerana akan singgah ke Masjid berhampiran rumah untuk urusan kafan dan sholat jenazah. Aku meronta-ronta meminta di hantar ke rumah yang baru aku siapkan dengan landskap terkini. Rontaanku tidak dipeduli.
Ketika dimandikan, tiada saudara mara yang mahu ke depan untuk memandikan. Hati tersentuh ketika itu.. Aku mula berbicara ”Kenapalah tiada saudara-maraku yang mahu berkhidmat untuk memandikan aku buat perjalanan terakhirku?” Kini aku dikafankan sebagaimana aku memakai kain ihramku. Kalau dulu aku sendiri yang melilit kain ihram menutup tubuhku, kini orang lain pula yang memakaikannya untuk aku.
Aku di bawa ke ruang legar Masjid untuk bertemu sanak-saudaraku sebelum aku melangkah ke teratak barzahku. Aku menangis ketika ini kerana aku tidak mampu lagi berinteraksi dengan oarng-orang yang aku sayang. Aku cuba berbicara namun tiada maklumbalas. Kemudian aku disolatkan. Kalau dulu aku mampu sholat sendiri walaupun mungkin sekadar kena buat. Tapi sekarang aku disolatkan. Aku didoakan sedangkan ketika aku hidup, aku tidak pula mendoakan orang lain.
Perjalanan teratak barzahku pun bermula bila aku dimasukkan kembali ke van jenazah. Van sekali lagi melalui lorong di hadapan rumah kesayangku, aku hanya mampu memandang rumah kesayangku dengan kenangan indah bersama ahli keluargaku. Aku mahu tinggalkan segala kebaikan untuk mereka....Kini aku lebih mengerti bahawa Haji adalah persiapan dan pengajaran terbaik buatku....
*************
3 comments:
bila sebut mengenai mati, SERAM rasanya.sebab kematian tidak ada tarikh, dimana, pukul berapa dan etc. semalam bila saya terlibat dalam kemalangan, menggigil kerana takut orang yang melanggar kami itu dilanggar pula oleh orang lain. Ya Allah ku pohon Kau berilah kesempatan aku untuk memperbaiki lagi ibadahku dan keluargaku.Terimalah amal ibadah kami selama kami hidup ini. AMIN
sorry. sambung dari komen atas.tidak ada tarikh masa itu bermaksud kita tidak dimaklumkan awal.
Terapi kematian ini menginsafkan lagi hati ini. Terima kasih Dr.
Shamsuddin Kadir
Post a Comment