Followers- Jalinan Ukhuwah

Thursday, November 26, 2009

Wukuf

Gambar Padang Arafah diambil di atas Jabal Rahmah- Ramadan 2009

Arafah adalah kemuncak Haji. Arafah adalah rukun penting ibadah Haji.

Semalam saya menerima sms dari abang Jamal. Katanya, jamaah kini sedang bergerak ke Arafah, disertai dengan hujan lebat. Sebentar tadi, beliau sms lagi dengan mengatakan, jamaah kita sedang bersiap untuk Khutbah Arafah. Penat dan mengantuk bukan kepalang cabarannya.

Arafah zaman dahulu mungkin lebih banyak cabarannya. Soalan-soalan asas seperti di mana bilik air, di mana hendak cari air, bagaimana hendak masak, bagaimana hendak menguruskan diri di tengah padang pasir yang kemahnya sudah tentu uzur dan berbagai lagi cabaran yang sudah pasti jauh hebatnya dengan zaman sekarang.

Ketika arwah nenek menunaikan Haji pada awal 70an, saya masih ingat nenek ke Mekah dengan Kapal Haji. Kenangan lain tidak saya ingat atau ambil pusing. Saya masih kecil ketika itu (belum sekolah). Cuma perjalanan arwah nenek memakan masa yang panjang.

Bila melihat gambar di bawah, mungkin arwah nenek melalui proses yang amat sukar

Kita seharusnya bersyukur kerana Allah memberi kita nikmat yang banyak dan teknologi yang canggih. Dengan nikmat yang banyak dan teknologi canggih, proses Haji kelihatan mudah.

Dari padang pasir tandus, Arafah kini mempunyai kemah yang berkipas dan dikelilingi oleh pokok-pokok hijau. Ketika saya menunaikan Haji tahun 2002, jamrah pula adalah satu batu menegak. Maka bersesaklah manusia ditempat yang sama. Dengan ilmu dan teknologi, jamrah sekarang diperbesarkan dan leper melebar serta bertingkat-tingkat. Ianya kelihatan lebih mudah dari Haji tahun 2002 lalu.

Apa sekalipun, jamaah Haji adalah manusia terpilih dan mereka sekarang sedang online dengan Allah di padang yang tanpa hijab. Mereka bebas berdoa. Pesanan Sms saya kepada abang Jamal ini ialah

”Di kala langit Mekah dan Arafah menangis
manusia pula sedang ketawa
Kemuncak Arafah adalah mempersembahkan
airmata keinsafan dan rayuan hati suci seorang hamba
Allah tidak memerlukan kita
namun kita mendambakan kasih sayangNya
Airmata Arafah akan menjadi bekalan
untuk mendinginkan tekanan mahsyar
dan meredakan kehangatan neraka Tuhan
Haji mabrur akan lahir dari jiwa bersih
hadiah mutlak Allah
buat hambaNya yang ikhlas.”

Saya doakan semua jamaah memperolehi ilmu, pengalaman dan keampunan terbaik di Arafah.

Tuesday, November 24, 2009

Daifnya Hamba

Saya berada di Selatan Tanahair sejak tiga hari lalu kerana tugas rasmi dan menghadiri konferens Akauntan. Saya memang ternanti-nanti program sebegini kerana berpeluang untuk bertemu dengan ramai kenalan dan membina networking hidup. Pengisian program, walaupun penting bagi meningkatkan profesionalisma, tidak mampu menyaingi pengisian hidup yang perlu dikerahkan.

Di sepanjang program saya lebih banyak mendampingi insan-insan asing bukan Muslim. Semasa tea-break, lunch dan dinner saya cuba mengisi diskusi menyentuh topik Islam dan pembinaan bangsa Malaysia. Peserta konferens adalah manusia yang hebat, Ceo dan pegawai kanan syarikat besar dan kerajaan.

Hari ini topik diskusi semasa makan tengahari berkisar aspek bahawa Tuhan tidak wujud dan alam ghaib/roh adalah mengarut. Seorang CEO (bukan Islam) mempertikaikan kewujudan Tuhan dan menyatakan bahawa agama hanya merosakkan masyarakat. Islam, Kristian dan Yahudi dihentam sebagai faktor kejumudan manusia dan sains. Rakan Kristian mempertahankan agama mereka sementara saya mempertahankan Islam.

Perbincangan semakin menarik bila teori-teori sains seperti teori big-bang, fizik dan evolusi dibahaskan oleh kami yang bukan ahli sains.

Ada beberapa pengajaran yang saya perolehi dari proses ini:-

1. Saya adalah insan daif dan tidak mantap ilmu sains dan comparative religion. Kajian peribadi dan ilmu yang ada tidak cukup untuk berhujah.

2. Masyarakat bukan Islam termasuk golongan atheis mengakui kehebatan Allah dan Muhamad tetapi tidak dapat menerima cara masyarakat muslim membawa Islam. Mereka mengupas bagaimana Arab dan Melayu tidak menunjukkan model Qur’an.

3. Masyarakat bukan Islam termasuk golongan athies sebenarnya banyak mengkaji Islam, Kristian dan Yahudi, Cuma menolak Islam kerana menggunakan hujah sains dan logik akal.

4. Mereka memerlukan penerangan yang jelas mengenai Islam. Mereka keliru dengan sikap kita terhadap Islam . Antara mereka menyebut ”Muhamad did allow muslim and non-muslim to discuss and express themselves in the holy mosque in Madinah. But why muslims nowadays are not given freedom of speech by Imam?” Show us the best Islamic model? Dengan lain perkataan, mereka mengkaji bagaimana Rasululah s.a.w mentadbir masyarakat dan negara.

Rumusan,
1. Saya perlu banyak belajar mengenai agama lain jika ingin menarik mereka kepada Islam.

2. Silibus subjek sains di sekolah perlu mengaitkan Islam dan Sains supaya kita dapat menyediakan para dai professional dan bakal pemimpin berjiwa Quran di peringkat sekolah lagi.

3. Imam dan Penguasa perlu lebih terbuka untuk menerima komen dan cadangan pembaikan usaha dakwah tanpa mengira siapa yang memberi cadangan.

Ya Allah... Maafkan hambaMu jika tidak mampu berhujah dengan baik. Berikanlah kami hikmah dan ilmu agar mampu menyampaikan Islam kepada non muslim sebagaimana Kau anugerahkan ilmu dan kebijaksanaan kepada Musa ketika berhujah dengan Firaun. Amin.

Wednesday, November 18, 2009

Tuhan tidak menzalimi kita

Hari ini saya membuat rawatan susulan selepas discaj dari hospital 12 hari lalu. Walaupun ’blocking nose’ kelihatan semakin baik, sakit dan sesak dada masih belum pulih sepenuhnya. Ujian kesihatan komprehensif tidak memberi indikasi buruk, jantung, paru-paru dll semuanya okay. Tiada darah tinggi, tiada kencing manis (mungkin masih muda agaknya...).

Cadangan Dr pakar untuk membuat pembedahan telah saya tolak. Ianya tidak perlu dilakukan kerana saya masih boleh bertahan. Dr hendak beri saya MC hingga Jumaat ini, juga saya tolak. Maka berkatalah Dr pakar ini ”Dr, anda sebenarnya perlu rehat supaya cepat sembuh dan boleh ikut preskripsi ubat. Jika bekerja macammana hendak pastikan ubat boleh dimanfaatkan?” Saya tersenyum, Kami sama-sama senyum dan saya yakin beliau memahami maksud senyuman saya.

Selepas rawatan, saya menziarahi seorang insan senior usia awal 50an di sebuah lagi hospital swasta di Shah Alam. Perbualan kami berlangsung lebih sejam. Beliau banyak refleks kisah kehidupan zaman silam. Bila masuk bab sejarah hidup, beliau menitiskan airmata. Terkejut saya!

Beliau telah kehilangan ayah pada usia 11 tahun, hidup miskin, tidak diendahkan saudara-mara akibat kemiskinan, terpaksa merantau untuk membina hidup dan akhirnya singgah sebentar di beberapa hospital.

Beliau berkongsi bahawa dalam hidup orang melayu, tidak ramai yang senang bila lihat kita senang. Kita yang susahpun tidak akan disenangi oleh orang. Sejak kehilangan ayah pada usia remaja, kehidupan yang susah juga tidak disenangi oleh orang lain. Dengki mendengki sudah menjadi budaya hidup. Setiap perkongsian beliau, airmata berguguran.

Beliau berkata ”Pakcik ingin berkongsi satu perkara dengan Wan. Walaupun pakcik kadang-kadang tidak sembahyang atau tertinggal sembahyang (sepanjang perjalanan hidup dari usia 11 tahun hingga sekarang), Allah memberi pakcik satu pengajaran.” Nada suara beliau mula tersekat-sekat. Beliau kelihatan sangat sedih dan airmata terus bercucuran.

Beliau lantas menyebut ”Allah Tidak Menzalimi Kita!” Beliau menambah ”Setiap persoalan hidup yang pakcik tempohi, Allah akan memberi jawapannya. Setiap masalah yang pakcik hadapi, Tuhan tunjukkan jalan penyelesaiannya. Pakcik menyedari, kita perlu segera kembali kepada yang Maha Esa kerana kita cuma menumpang sementara di ’rumah’ orang. Bila kita 'menumpang di rumah orang', maka kita kena bersedia untuk diminta pergi..."

Ya, setiap insan akan meninggalkan ’rumah tumpangan’ ini. Tuhan tidak menzalimi kita. Setiap persoalan ada jawapannya...

Saturday, November 14, 2009

26 Zulkaedah

Hari ini adalah 26 Zulkaedah. Tarikh 26 Zulkaedah tidak memberi apa-apa makna bagi kita. Tidak juga tercatat dalam sejarah Islam istimewanya tarikh ini (nota: jika ada, minta tuan/puan berkongsi di blog ini).

Masa saya kecil-kecil dahulu, arwah nenek selalu sebut bulan ini adalah bulan berapit. Ianya dihimpit oleh 2 eid iaitu eid-fitr dan eid-adha. Itu sahaja yang saya ingat bagi bulan Zulkaedah ini. (Soalan untuk anda jawab: Adakah bulan Zulkaedah termasuk dalam bulan-bulan Haji?).

Bila kita ukur kalender Hijrah ukuran bagi umat Islam, setiap tahun ianya kurang dalam 10 hari jika dibandingkan dengan kalender masihi. Jika umur anda 36 tahun sekarang (tahun masihi), maka ikut kiraan kalender hijrah anda sudah melangkah ke tahun 37 (tua setahun). Kalender Hijrah menjadikan kita lebih ’tua’ dari kelender masihi. Dengan lain perkataan, kita semakin hampir untuk bertemu Allah yang maha Esa.

Malam semalam saya menghadiri kuliah bulanan ahli keluarga di rumah abang. Ustaz kami (ustaz pakar Fiqh) menyentuh sedikit mengenai bab kematian. Pendek cerita, jika seseorang tidak solat maka mereka adalah fasiq (dalam kaedah Ahlul-Sunnah wal-jamaah). Maka, sepatutnya tanah perkuburan perlu dipisahkan antara muslim-mukmin dengan muslim-fasiq. Cuba kita fikirkan apa akan berlaku jika pemisahan tanah kubur ini boleh dilaksanakan?

Walaupun tarikh 26 Zulkaedah tidak memberi makna kepada anda, tetapi ianya sentiasa saya ingat. 26 Zulkaedah adalah tarikh saya diizinkan Allah untuk berhijrah dari alam rahim ke alam dunia.

Adakah anda tahu tarikh Hijrah anda dilahirkan?

”Mak, terima kasih kerana mengizinkan saya menumpang sebentar di perutmu sebelum melangkah ke alam dunia yang hipokrit ini...Halalkan setiap aturan makan-minum ketika saya menumpang di rahimmu dan maafkan saya jika saya pernah menyinggung hati mak sepanjang kehidupan ini....” (Petikan buku ke 2 saya- Cinta Kaabah).

Thursday, November 12, 2009

Adakah Dunia ini Boleh Hidup Tanpa Lelaki?

Alhamdulilah, saya telah memulakan tugas semalam setelah lebih 10 hari MC tidak ke pejabat.

Bila masuk pejabat, banyak file dan kertas kerja sudah menanti saya. Lambakkan file dan kertas kerja memohon kelulusan sudah menjadi rutin hidup. Mesyuarat pula dari pagi hingga ke petang. Kadang-kadang terlajak hingga lepas Maghrib. Itulah kehidupan dunia korporat, seolah-olah 24 jam yang Tuhan beri tidak cukup.

Bila tidak ke pejabat, jiwa rasa sedikit aman. Ketika bermalam di hospital, banyak masa saya menonton Discovery Channel. Nasib baik hospital sekarang sudah ada internet dan tv, tidaklah bosan.

Saya amat tertarik dengan dua bahan yang diutarakan oleh Discovery Channel jam 5.30ptg 5 Nov lalu.

Bahan Kajian 1- Objektif Kajian: Adakah dunia ini boleh hidup tanpa Lelaki?
Sebuah Universiti di Jepun membuat kajian adakah kemungkinan spesis lelaki akan pupus? Dengan lain perkataan, adakah dunia ini boleh hidup tanpa lelaki? Kajian ini bersandarkan hipotesis bahawa wanita boleh melahirkan anak sebagaimana Mariam melahirkan Nabi Isa a.s. tanpa perlu adanya lelaki.

Persoalan ini nampak menarik, lebih-lebih lagi bila ramai menyebut dunia ini kini dikuasai wanita (wanita lebih ramai dari lelaki). Di mana-mana sahaja kita pergi; di universiti, di pejabat, di sekolah, di shopping kompleks sememangnya wanita lebih ramai (atau lelaki suka tinggal di rumah?)

Pada peringkat awal, saya berpendapat kajian ini sebenarnya mengarut! Tetapi bila melihat kesungguhan kajian mereka, maka kemungkinan ini boleh berlaku. Kajian ini telah di buat lebih 10 tahun dengan menggunakan kaguya sebagai bahan kajian bagi sel dan pembiakan haiwan. Dengan lain perkataan, ilmu dan teknologi sel dan pembiakan seolah-olah memberi indikasi bahawa haiwan jenis kaguya ini boleh membiak tanpa spesis jantan. Hasil kajian seolah-olah ianya tidak mustahil akan berlaku kepada manusia. Wallah’ alam.

Bahan Kajian 2 Manusia suka menyusahkan orang lain
Kajian ini juga menarik dengan hipotesis manusia lebih mementingkan diri sendiri. Umum mengetahui tabiat buruk ini. Bila melihat Discovery Channel ini, mata saya mula serius ingin mengetahui. Kajian oleh seorang Profesor (tak ingat namanya) dari Baruch College New York mendapati 69% manusia mempunyai tabiat menyusahkan orang lain. Sample kajian tabiat manusia ini di ambil di beberapa pusat membeli belah. Saya tersenyum sendiri kerana video ini menunjukkan contoh-contoh praktikal seperti meletak kenderaan ikut suka hati, membuang sampah merata-rata, tidak meletak balik troli dll yang kita sama-sama tahu, iaitu ini juga tabiat orang 1Malaysia. Saya juga terfikir, mungkin manusia tidak sedar apa yang telah mereka lakukan sehingga statistik 69% ini adalah tinggi.

Rumusan- Saya berfikir ,
Kajian 1:- Apa akan berlaku kepada dunia jika lelaki mula pupus??
Kajian 2:– Adakah ini bermakna Cuma 31% sahaja manusia yang tidak susahkan orang lain?

Wallah’alam.

Allah berfirman
”Terimalah semua yang Allah telah berikan kepada mu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.” Al-Aaraf: 44

Monday, November 9, 2009

Nilai RM5

RM5 tiada nilai buat kita. Di KL, minum pagi sahaja sudah hampir RM5. Bagi perokok, mungkin RM5 tidak cukup untuk membeli satu kotak rokok. RM5 juga tidak cukup untuk saya membayar tol setiap hari ke pejabat. Namun hari ini Allah memberi saya nikmat RM5.

Rasululah s.a.w berpesan jika kita ada kesulitan atau ada sedikit ujian kesihatan, maka bersegeralah bersedaqah di pagi hari. Justeru selepas Subuh pagi tadi, saya menyediakan dua keping RM5 untuk di hadiahkan kepada insan yang benar-benar memerlukan. Sukar juga mencari insan yang benar-benar kesempitan wang walaupun nilainya Cuma RM5. Allah tidak mengizinkan saya bertemu dengan golongan yang saya cari.

Selepas solat Zuhur di Masjid, Bilal berbisik dengan saya ”Dr, ada seorang pemuda meminta wang kerana katanya beliau kehilangan dompet. Boleh percaya ke?” Sambil beliau menunjukkan seorang pemuda yang sedang bersolat sunat ba’dia Zuhur. Beliau menambah ”Nampak gaya, pemuda ni sihat, tegap macam berduit.” Saya bertanya ”Apa ukuran tuan Bilal mengatakan pemuda ini berduit? ” Pemuda ini kelihatan segak dan sihat. Pakaian juga kemas.” tambah tuan Bilal, Satu penghujahan kukuh.

Saya pula mengemukakan hujah, ”Beginilah tuan Bilal. Seseorang yang menipu tidak akan menunaikan ibadat sunat tambahan. Jika beliau menipu, sudah tentu beliau akan segera menemui tuan Bilal atau Imam selepas solat Zuhur tadi untuk mendesak diberikan wang. Tapi ini tidak berlaku. Beliau terus menunaikan solat sunat lepas Zuhur untuk terus online dengan Allah. Tidak cukupkah ini sebagai ukuran? Bilal bertanya kembali ”Betul juga. Jadi nak buat apa Dr?” Saya menegaskan ”Kita buat kutipan sekarang juga.”

Dengan izin Allah RM50 dapat dikumpulkan untuk pemuda yang musafir ini. Dua keping RM5 yang saya hajatkan menemani pemuda ini meneruskan perjalanan musafirnya untuk pulang ke Kedah.

Seronoknya hati dapat membantu insan yang kesempitan ini. Hari ini RM5 benar-benar bernilai bagi insan yang terdesak.

Sunday, November 8, 2009

Diskusi Wartawan- Seru Haji

Sebagaimana yang dijanjikan, wartawan Mingguan Wanita menziarahi saya pada hari ke 3 bermalam di hospital. Temujanji jam 3 petang selepas saya membuat pemeriksaan di klinik Dr Pakar KPJ Specialist. Saya tidak boleh menolak kerja-kerja dakwah walaupun menerima rawatan di hospital. Bukankah rehat kita Cuma di alam barzah?

Puan Netty kelihatan simple, namun serius dengan tugas. Awal-awal lagi beliau menyebut, ”Penatlah Dr menjalankan tugas. Rasanya tiada rehat.” Dalam hati saya menyebut, ”Emm.. agaknya semua manusia mengeluh kepenatan kerja, merasai tekanan dan mengeluh dengan tugas yang tidak kunjung tamatnya.”

Perbincangan kami berkisar aspek Haji khususnya mengapa kita perlu mengalakkan orang muda segera menunaikan haji dan bagaimana berhadapan dengan cabaran pasca Haji. Ia bukan kerja mudah.

Perbincangan di Cafe hospital berjalan rancak. Diskusi yang dirancang 20 minit berakhir hampir satu jam. Di akhir sesi diskusi, beliau menyebut ”Saya belum sampai serulah Dr.”

Saya katakan, ”Ya, ramai berkata begitu.”

Kunci kepada ”Belum sampai seru” ialah lakukan langkah pertama. Cuba kita ambil contoh Prof Hj Muhd Kamil, bagaimana perubahan boleh dilakukan hanya dengan langkah awal membersihkan diri dan menilai jauh wawasan hidup.

Tidak semua insan akan mendapat peluang menjadi tetamu Allah. Haji adalah jemputan istimewa dari Allah.

Saya ambil satu lagi contoh bagaimana merealisasikan SERU. Dua Minggu lepas seorang insan yang saya kenali tiba-tiba menerima panggilan telefon dipilih menunaikan Fardu Haji tajaan sebuah Bank yang berpusat Di Arab Saudi. Beliau Cuma membuka akaun di Bank tersebut dan dipilih untuk ke Tanah Suci. Nampak mudah bukan , itulah kuasa Tuhan.

Langkah breakthrough beliau ialah membuka akaun Bank berkenaan dengan harapan dipilih menunaikan Haji/Umrah tajaan Bank ini. Mungkin beliau mengambil satu lagi langkah iaitu berdoa sungguh-sungguh agar dipilih oleh pihak Bank. Mungkin Allah memilih beliau kerana kebaikan yang pernah beliau lakukan. Mungkin juga dengan doa emak dan isteri beliau secara istiqamah.

InsyaAllah, saya akan masuk pejabat hari Rabu (masih MC) dan insyaAllah akan membuat temujanji dengan tetamu Allah yang istimewa ini.

Pendek cerita, SERU juga mungkin liat hadir jika kita juga liat berdoa dan berusaha.

Thursday, November 5, 2009

Hospital

Sejak sebulan-dua ini saya agak kurang sihat. Tekanan kerja pejabat, kesesakkan jalanraya dan karenah anak-anak buah di pejabat banyak menyumbangkan kepada faktor kesihatan ini. Minggu lepas MC, Isnin pun MC. Selasa di masukkan ke hospital dan Hari ini saya masih di hospital (Sudah 2 hari bermalam di hospital pakar KPJ Specialist).

Malam tadi cuaca sedikit dingin. Teringat pengalaman dingin sejuk Madinah ketika menunaikan Haji dahulu. Seorang rakan yang kini berada di Madinah sms saya mengatakan Madinah sekarang sejuk macam berada di puncak Genting. Seronok menerima khabar berita Madinah. Rindu akan Madinah sentiasa membara.

Suasana sejuk dan dingin memberi sedikit kekuatan untuk menhasilkan sesuatu untuk sumbangan kepada ummah. Suasana tenang mengizinkan saya menulis bab ke enam buku ke 3 saya (nota: insyaAllah buku ke 2 akan berada di pasaran sedikit masa lagi. InsyaAllah saya akan beri sinopsis buku ke 2 selepas disahkan penerbit dan sudah memasuki makmal percetakkan). Petang semalam pula, ada wartawan menelefon saya berkaitan apa yang saya tulis dalam Berita Harian untuk dipanjangkan tulisan saya. Saya nyatakan alhamdulilah dan insyaAllah jika untuk kerja-kerja membina ummah saya tiada halangan, jemputlah ziarah saya.

Berada di hospital, Dr pakar suruh berehat. Peluang bermalam di hospital dapat banyak meringankan tekanan kerja dan tekanan di jalanraya. Saya rasa hidup amat merugikan terpaksa berhadapan dengan kesesakan trafik sekurang-kurangnya 2 jam sehari. Pahala solat berjamaah Maghrib dan Isya pun kadang-kadang terlepas akibat trafik jam. Bila di hospital, ‘Release’ sedikit dan kepala agak ringan dari biasa. Cuma email rasmi pejabat bertalu-talu menghujani blackberry. Biasalah makan gaji kata orang. Ianya sedikit menganggu peluang berehat.

InsyaAllah ketemu lagi....

(Nota: blog di update di cafe hospital).

Monday, November 2, 2009

Professionalkah Kita?

Semalam dan hari ini kita dikejutkan dengan penahanan mantan Mufti, Dr Maza. Diberitakan beliau di tahan di sebuah banglo di bandaraya KL. Penahanan beliau mengejutkan ramai pihak termasuk mendapat reaksi Perdana Menteri.

Menilai banyak tulisan saya di blog ini mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat dan approach dakwah saya. Saya juga mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pandangan anda. Dengan lain perkataan, kita akan sentiasa tidak setuju antara satu dengan lain dalam banyak konteks dan keadaan. Selagi kita berhujah dengan penuh hikmah, menghormati pendapat orang lain dan memberi pilihan-pilihan untuk kita terus berjaya dan Islam berkembang, perbahasan intelek dengan nilai akhlaq tinggi seharusnya dihargai.

Saya pernah menulis sebelum ini betapa jumudnya jabatan-jabatan agama di negara ini (berdasarkan pengalaman saya sejak remaja hingga sekarang). Menghadirkan diri di jabatan agama adalah membosankan! Jabatan agama juga tidak banyak membantu pengurusan masjid. Polisi-polisi jabatan agama juga banyak tidak relevan di dunia globalisasi, serba kompetitif dan tidak forward looking.

Mungkin ada antara kita berhujah, Dr Maza membawa fahaman Wahabbi. Saya nyatakan, adakah kita mempunyai bukti kukuh beliau menyeleweng? Jika Wahabbi itu salah, jadi bagaimana dengan solat para jamaah Haji dan Umrah yang bersolat dan berimamkan golongan Wahabbi di Mekah dan Madinah? Dengan lain perkataan, beratus juta umat islam yang pernah berimamkan mereka tidak sah solat mereka?

Rakan saya seorang Cina yang bukan Islam bertanya ”Mengapa seorang ilmuwan bekas mufti boleh ditangkap tanpa alasan kukuh oleh Jabatan Agama?” Di mana maruah umat ketika ini? Jika bekas mufti yang berfikiran terbuka dianggap salah, siapa lagi kita hendak bergantung?

Masyarakat Islam Malaysia semakin celaru dengan tindakan tidak professional. Pendapat saya, banyak lagi kerja amar ma’ruf dan nahi mungkar yang jabatan agama boleh fokuskan. Bila saya mengadu ujudnya ajaran sesat di sekitar tempat saya, hingga sekarang tiada tindakan jabatan agama. Hubungi jabatan agama melalui telefon juga tidak berjawab!

Bagi saya, isu Dr maza tidak perlu diperbesarkan yang boleh membuat masyarakat keliru. Langkah terbaik (jika belum buat) jabatan agama/JAKIM perlu mengadakan muzakarah antara mufti-mufti/ ahli majlis fatwa dan para ulama untuk berbincang dengan Dr Maza. Jika Dr Maza silap, perbetulkan secara fardi dan tertutup. Tidak perlulah kita menghukum dan mengaibkan beliau. Jika wujud golongan yang tidak bersetuju dengan beliau, ajaklah berbincang. Bukan mudah untuk kita mentarbiah golongan hartawan dan professional. Jika Dr Maza mampu menembusi tembok ini, ia adalah satu kelebihan yang kita perlu sokong. Pengalaman saya di sektor korporat, bukan mudah untuk menembusi tembok ego golongan professional dan jutawan. Kita perlu sama-sama berganding bahu membuat dakwah professional dan korporat.

Pertimbangan bersandarkan emosi dan politik tidak menguntungkan perjuangan ummah (nota: saya tidak menolak bab siasah dalam pengurusan negara). Usaha menarik bukan Islam dan mentarbiah masyarakat perlulah menjadi prioriti penting kehidupan.

Kita berhadapan dengan medan dakwah dengan cabaran berbeza. Berilah sokongan antara satu sama lain. Jika esok diumumkan kesalahan Dr Maza hanyalah disebabkan tiada tauliah mengajar, maka mengapa menyukarkan usaha dakwah. Jika saya Pengarah Jabatan Agama, saya akan mengambil pendekatan proaktif memberi tauliah kepada semua mufti dan mantan Mufti negeri-negeri di Malaysia ini tanpa perlu mereka membuat application.

Allah lebih mengetahui apa yang sedang berlaku. Wallah’alam.