Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, November 18, 2009

Tuhan tidak menzalimi kita

Hari ini saya membuat rawatan susulan selepas discaj dari hospital 12 hari lalu. Walaupun ’blocking nose’ kelihatan semakin baik, sakit dan sesak dada masih belum pulih sepenuhnya. Ujian kesihatan komprehensif tidak memberi indikasi buruk, jantung, paru-paru dll semuanya okay. Tiada darah tinggi, tiada kencing manis (mungkin masih muda agaknya...).

Cadangan Dr pakar untuk membuat pembedahan telah saya tolak. Ianya tidak perlu dilakukan kerana saya masih boleh bertahan. Dr hendak beri saya MC hingga Jumaat ini, juga saya tolak. Maka berkatalah Dr pakar ini ”Dr, anda sebenarnya perlu rehat supaya cepat sembuh dan boleh ikut preskripsi ubat. Jika bekerja macammana hendak pastikan ubat boleh dimanfaatkan?” Saya tersenyum, Kami sama-sama senyum dan saya yakin beliau memahami maksud senyuman saya.

Selepas rawatan, saya menziarahi seorang insan senior usia awal 50an di sebuah lagi hospital swasta di Shah Alam. Perbualan kami berlangsung lebih sejam. Beliau banyak refleks kisah kehidupan zaman silam. Bila masuk bab sejarah hidup, beliau menitiskan airmata. Terkejut saya!

Beliau telah kehilangan ayah pada usia 11 tahun, hidup miskin, tidak diendahkan saudara-mara akibat kemiskinan, terpaksa merantau untuk membina hidup dan akhirnya singgah sebentar di beberapa hospital.

Beliau berkongsi bahawa dalam hidup orang melayu, tidak ramai yang senang bila lihat kita senang. Kita yang susahpun tidak akan disenangi oleh orang. Sejak kehilangan ayah pada usia remaja, kehidupan yang susah juga tidak disenangi oleh orang lain. Dengki mendengki sudah menjadi budaya hidup. Setiap perkongsian beliau, airmata berguguran.

Beliau berkata ”Pakcik ingin berkongsi satu perkara dengan Wan. Walaupun pakcik kadang-kadang tidak sembahyang atau tertinggal sembahyang (sepanjang perjalanan hidup dari usia 11 tahun hingga sekarang), Allah memberi pakcik satu pengajaran.” Nada suara beliau mula tersekat-sekat. Beliau kelihatan sangat sedih dan airmata terus bercucuran.

Beliau lantas menyebut ”Allah Tidak Menzalimi Kita!” Beliau menambah ”Setiap persoalan hidup yang pakcik tempohi, Allah akan memberi jawapannya. Setiap masalah yang pakcik hadapi, Tuhan tunjukkan jalan penyelesaiannya. Pakcik menyedari, kita perlu segera kembali kepada yang Maha Esa kerana kita cuma menumpang sementara di ’rumah’ orang. Bila kita 'menumpang di rumah orang', maka kita kena bersedia untuk diminta pergi..."

Ya, setiap insan akan meninggalkan ’rumah tumpangan’ ini. Tuhan tidak menzalimi kita. Setiap persoalan ada jawapannya...

5 comments:

Hajah Zainab bt Abdullah said...

salam dr ridz,

kak nab doakan agar dr diberikanNya kesihatan yang baik & dapat meneruskan khidmat bermanfaat yang dilakukan selama ini, Insya Allah.

ridz said...

Salam,
Terima kasih Kak Nab dengan doa dan kata perangsang.

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Tuan Haji Ridzwan,

Semoga tuan cepat sembuh.Amin!

Anonymous said...

Wan,

Semoga Allah berikan kesihatan yang baik untuk terus hampir denganNya.

MKI

Anonymous said...

salam dr..saya suka baca blog dr...dr sini saya bina kekuatan menempuhi hari2 mendatang...akan saya simpan segala perit liku2 menjalani kehidupan yg penuh dugaan sepanjang suami saya menjalani rawatan kanser selama hampir 4 tahun...kerana Allah swt tidak pernah menzalimi hambanya...:))))

asma