Followers- Jalinan Ukhuwah

Friday, January 30, 2009

Bekalanku sedikit

Ketika termenung sejenak mengenai kehidupan, saya berkira-kira mengenai bekalan yang perlu dibawa. Rasanya terlalu sedikit. Macamana hendak bermusafir dalam keadaan bekalan yang sedikit? Astaghfirullah. Maka teringat satu kisah yang diceritakan kepada saya

*** Seorang pemandu bas sedang memandu ke destinasi dengan beberapa pembantu dan penumpang. Dalam saat cerianya beliau memandu tiba-tiba beliau memberhentikan bas. Pembantu beliau dan penumpang bertanya ”Mengapa engkau memberhentikan bas?” Si pemandu menjawab ”Saya berhenti untuk mengambil seorang tua berjubah putih yang melambai-lambaikan tangannya.” Para penumpang terpinga-pinga. Pembantu beliau berkata ”Tak ada sesiapapun kat sini” sambil menjengok di luar bas. Si pemandu berkata lagi ”Ha, dia tengah berjalan tu, dah nak naik bas dah.” Si pembantu menambah, ”Demi Allah, tiada siapapun di sini. Jalan ajelah.” Secara tiba-tiba si pemandu menyebut ”Ashaduallah ila ha ilalah......” terus menghembuskan nafas terakhir***

Perjalanan menemui Rabb adalah pasti. Tidak cepat mahupun dilewatkan. Di saat ini saya terkenang arwah Zul (saudara saya) yang menemui Tuhannya dalam usia 30 tahun. Beliau tidak mempunyai penyakit, apatah lagi pada usia yang muda. Beliau ceria di pagi, petang dan malam sebelum beliau kembali menemui Penciptanya. Namun, tangisan dan airmata isteri, mak, ayah, mak mertua, ayah mertua, insan-insan yang dekat dan rakan-rakan tidak dapat menghalang kasih sayang Allah untuk menjemput beliau jam 3 pagi. Tiga jam sebelum meninggalkan dunia yang penuh dengan fitnah ini, beliau teramat ceria, sempat ziarah mak dan ayah mertua dan kembali ke rumah sekitar jam 12 malam (Kisah ini saya kongsikan dalam buku Haji Muda). Kepergian beliau amat memeranjatkan kami. AL-Fatihah.

Mutiara Bicara:
Tiada jaminan orang muda akan sentiasa sihat dan segar. Tiada jaminan orang muda akan panjang umur. Persiapkanlah bekalan terbaik, kerana perjalanan ini mungkin jauh untuk kita tempuh.

Thursday, January 29, 2009

Forum Palestin Menangis Lagi

Perkembangan terkini Palestin akan dilakukan dalam bentuk forum seperti di bawah.


FORUM PALESTIN MENANGIS LAGI



Tempat: Masjid Al_Munawwarah,Seksyen 27 Shah Alam
Tarikh: 1 Feb 2009 (AHAD)
Masa: 8.45 malam (lepas sholat Isya’)

Kehadiran tuan-puan khususnya ahli kariah amat dihargai.

Sunday, January 25, 2009

Kisah Serban Besar

Sudah tentu kita menghormati insan berserban atau berkopiah putih. Penghormatan lebih tinggi jika insan ini berserban besar. Banyak juga cerita-cerita dan pengalaman mengenai mereka ini yang kita dengar.

Ketika rancak kita membicarakan usaha memboikot barangan Yahudi dan kroni-kroninya, maka saya teringat satu kisah yang saya alami kira-kira 17 tahun lalu yang berkait dengan serban besar dan KFC. Ketika Bujang saya kurang gemar menziarahi outlet makanan segera. Kerana kejahilan, ianya memberi sedikit disadvantage kerana tidak ambil pusing perkembangan semasa.

Dipendekkan cerita, ketika berbaris untuk mengeluarkan wang di mesin ATM BSN Kompleks PKNS, saya mendapati seorang insan berserban besar (saya namakan SB) terkial-kial untuk mengeluarkan wang. Tanpa berlengah saya cuba membantu dan memang benar beliau berhadapan kesukaran untuk mengeluarkan wang. Dengan wajah kesian, Lelaki SB ini memohon bantuan saya, katanya ”Boleh adik tolong pinjamkan wang? Anak-anak abang tiga orang ada di KFC sedang menjamah ayam. Kalau duit tak boleh keluar, macamana saya hendak bayar?” Betul juga kata si SB ni. Saya bertanya ”Berapa abang perlukan?” Beliau menjawab, ”tak banyak RM350 sahaja”. ”Ha! Sekali makan KFC RM350 ke?”, betapa daifnya saya ketika itu (sebab tidak mahu ambil tahu atau masuk ke outlet makanan segera). Si SB ni menambah ”Isteri abang ada di Hospital Klang, melahirkan anak. Nanti bila balik abang ambil kad ATM isteri abang dan keluarkan wang untuk bayar balik duit adik. Lagipun abang tinggal di Banting tidak jauh dari Klang.”

Perasaan belas kasihan menyebabkan saya beralah. Saya terus keluarkan wang di ATM dan memberi beliau RM350. Saya mempunyai keyakinan ke atas insan yang berserban besar. Si SB ini kemudiannya mengambil no telefon rumah dan berjanji akan memulangkan wang pada malam itu juga selepas Isya’. Beliau juga menulis di atas kertas nama dan alamat pejabat majikan beliau iaitu DBKL Jln Raja Laut .

Selepas menunggu beliau hingga jam 11 malam akhirnya, kepercayaan saya terhakis. Keesokannya saya menelon DBKL bertanyakan nama si SB ini namun jawapan telefonis, tiada nama tersebut di pejabat DBKL. Dua hari kemudian saya pergi sendiri di alamat pejabat SB ini, namun jawapan yang sama saya terima, tiada insan yg bernama SB .....


Mutiara Bicara:
Pertama, Berhati-hatilah ketika berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Kedua, cubalah apa sahaja perkara baru supaya kita tahu sesuatu perkara. Kepada insan yang berserban dan berkopiah/berpurdah, tunjukkanalah contoh yang baik kepada masyarakat. Janganlah kerana sikap buruk anda menyebabkan kepercayaan orang kepada orang yang berserban/berkopiah terhakis. Islam rugi kerana perangai buruk anda.

Thursday, January 22, 2009

Fasa Perang Saraf

Beberapa akhbar semalam menyebut para pendita Yahudi “menghalalkan” pembunuhan sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak dan orang-orang tua Palestin yang menentang agenda Yahudi Raya. Mereka bersatu hati untuk membawa misi mereka untuk menguasai Baitulmuqaddis sepenuhnya.

Hari ini, berita berikut pula muncul untuk membenarkan tindakan tidak bertamadun mereka menyerang Gaza.

*********************
Israel Recruits Army Of Bloggers To Troll Anti-War Websites

Israel has announced that it is setting up a network of bloggers to combat websites deemed "problematic" by the Zionist state, presumably to propagandize about the necessity of killing babies and infants in the name of self-defense.

Israel’s global reputation for being the new Nazis was already firmly established, but the ceaseless and indiscriminate bombing of Gaza, labeled a war crime by international observers, has hardened opinion against the country and this has manifested itself nowhere more than the world wide web.

Israel’s response will be to flood the Internet with PR agents who will attempt to create a phony consensus that the ZIonist state’s barbarian actions are justifiable.

Disamping itu, video propaganda Yahudi kini disebarkan seperti di bawah
http://www.terrorismawareness.org/what-really-happened/
*********************************

Apa yang boleh anda (termasuk saya) lakukan?

Tuesday, January 20, 2009

Dakwah di Padang Bola


Dengan peranan besar media yang dikuasai Yahudi, kita banyak didedahkan dengan nama-nama besar seperti Becham, Henry, Maradona yang sinonim dengan dunia bolasepak. Pun begitu, mungkin anda tidak mengenali seorang pemuda Arab yang bernama Aboutreika. Beliau dikenali ramai sebagai hero bolasepak Mesir dan Arab dengan telatah misi murninya di padang bola. Bukan sekadar menjaringkan gol, bahkan membuka mata dan fikiran penonton akan pentingnya menyelamatkan Gaza.


Gambar di sebelah (kisah ini bukan baru. Ianya berlaku pada tahun 2008 lalu di ambil dari islamonline Tajuk: Gaza in African Cup) yang mengambarkan bagaimana usaha seorang bintang bolasepak Arab mampu “berdakwah” di padang bolasepak. Dengan slogan “"Sympathize with Gaza", beliau mampu membuka mata peminat bolasepak supaya mengembalikan hak Gaza dan rakyat Palestin untuk hidup sebagaimana kita hidup.

Lebih penting, bukan setakat membawa mesej Gaza, tetapi beliau turut sujud syukur di setiap gol yang beliau jaringkan.

Bukankah seronok kalau generasi muda kita mengambil langkah dan pendirian yang serupa...

Mutiara Bicara:
Di mana sahaja kita berada, hendaklah kita meneruskan usaha kebajikan, membantu rakyat marhain dan rakyat Palestin serta sujud syukurlah atas setiap nikmat yang kita perolehi.

Monday, January 19, 2009

Gotong Royong- Terima kasih


Program gotong royong membersihkan masjid al-Munawwarah berjalan dengan baik semalam. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua AJK, petugas, MBSA, Alam Flora, persatuan penduduk dan orang perseorangan yang membantu menjayakannya.

Kepada drbubbles dan sukarelawan Islamic Relief Malaysia, terima kasih dengan sokongan dan bantuan (maaf, tak sempat hendak taa’ruf panjang).


Dari Abdullah bin Masud, beliau berkata Rasululah s aw bersabda
”Sesiapa yang menjadikan keinginannya menjadi satu, iaitu keinginan untuk memperoleh kebahagiaan di akhirat, maka Allah akan mencukupkan keinginan dunianya. Barangsiapa yang keinginan dunianya bercabang-cabang maka Allah tidak akan peduli di lembah bumi mana dia akan binasa.”

Moga Allah menerima usaha ini sebagai satu amal soleh.

Saturday, January 17, 2009

Gotong Royong

Menyusun semula organisasi bukanlah kerja mudah, lebih-lebih lagi jika insan-insan yang terlibat adalah sukarelawan. Kerja-kerja kemasyarakatan bukan sahaja memerlukan tenaga dan masa bahkan buah fikiran bagi mereliasasikannya. Kerjasama, ikhlas dan sangka baik amat penting bagi mengujudkan masyarakat yang berwawasan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput warga muslim di sekitar Shah Alam untuk menghadiri program gotong-royong seperti berikut:

Tempat: Masjid Al-Munawwarah, Seksyen 27
Tarikh: 18 Jan
Masa: 8 pagi.

Jazakallahu khair.

Tuesday, January 13, 2009

Intifada, Boikot dan Airmata #2

Intifada #2 awal tahun 2000 hingga 2006 menguji solidariti kita, umat Islam. Dalam keadaan rintihan dan airmata berguguran, boikot produk Yahudi dan Amerika dilaungkan. Namun laungan ini agak rapuh. Bila suasana Palestin “agak aman”, kita kembali membeli produk Yahudi dan Amerika. Kita seolah-olah lupa dengan kekejaman Israel dan khianatnya Amerika kepada muslim sejagat.

Boikot kita tidak memberi impak besar kepada mereka. Brand-brand produk Yahudi tetap dalam senarai Top 30 World Best Brand. Sepanjang pemerhatian dan kajian saya, Coca Cola sentiasa berada di tangga pertama World Best Brand, diikuti oleh brand produk Yahudi/Amerika lain. Jadual di bawah saya ekstrak dari tesis Kedoktoran saya (Nota: 10 brand dari 30 Top Brand. Hampir semua brand ini milik Yahudi/Amerika).

___________________________________________________
TOP 30 BEST GLOBAL BRAND YEAR 2004-2006

RANK BRAND Brand Value in US$ Millions
ORDER 2006 2005 2004 Industry

1 Coca Cola 67,000 67,525 67,394 Beverages
2 Microsoft 56,926 59,941 61,372 Computer software
3 IBM 56,201 53,376 53,791 Computer services
4 GE 48,907 46,996 44,111 Diversified
5 Intel 32,319 35,588 33,499 Computer hardware
6 Nokia 30,131 26,452 24,041 Telecom equipment
7 Toyota 27,941 24,837 22,673 Automotive
8 Disney 27,848 26,441 27,113 Media/Entertainment
9 McDonald's 27,501 26,014 25,001 Restaurants
10 Mercedes 21,795 20,006 21,331 Automotive
________________________________________________

Jadual I. Extracted from Ridzwan, B. (2008).


Jika tidak silap, saya pernah baca satu laporan dua atau tiga tahun lalu menyebut, impak kepada global sales Coca Cola untuk aktiviti boikot cuma kecil iaitu USD200 Juta atau bersamaan dengan 0.8% dari hasil jualan (nota: Fakta perlu disemak). Pemboikotan bukan disebabkan oleh isu Palestin sahaja tetapi banyak faktor-faktor lain. Namun, walaupun pemboikotan dilakukan, purata peningkatan hasil (average growth sales YoY) adalah sekitar 4% setahun. Jadi, walaupun satu kumpulan memboikot, mungkin terdapat beberapa kumpulan lain yang meningkatkan pembelian lantas impak tidak ketara. Mereka juga mempunyai strategi global untuk terus menjuarai jualan. Dengan lain perkataan, hujah ini menyokong segelintir cakap-cakap orang kita bahawa janganlah buang masa memboikot macam anjing menyalak bukit, tiada kesannya.

Cuba kita ingat kembali bila usaha memboikot ini dilakukan kira-kira dua tahun lalu. Jika masih ingat, solidariti Restoran-restoran Mamak nampak menyerlah. Mereka memboikot dengan kesungguhan (nota: saya tidak pasti adakah mereka masih meneruskannya sekarang). Di ketika itu muncul pula Mecca Cola. Maka kita pun cuba beralih mencari Mecca Cola. Namun, secara peribadi, sukar untuk saya mencari Mecca Cola ini. Walaupun kualitinya setaraf Coke, terkial-kial juga mencarinya. Mungkin tuan-puan juga mengalami pengalaman yang sama. Mungkin Mecca Cola ini disorok, atau tidak mendapat sambutan masyarakat kita? Akhirnya, kita sama-sama lupa pasal perkara ini.




Namun airmata Palestin tetap berguguran. Anak-anak kecil Palestin terus dihujani peluru dan disembelih. Tanah-tanah Palestin berterusan dirampas, peta sejarah Palestin diubah, OIC kian dayus dan PBB cuma mangkuk yang perlu dihumban di gurun Sahara.

Walau apa sekalipun hujah rakan-rakan atau saudara mara kita untuk mengiyakan nafsu mereka (mungkin kita pun sama), namun wajib bagi kita membantu Palestin dan membebaskan Al-Aqsa. Memboikot barangan Yahudi adalah sebahagian kecil dari jihad yang perlu kita lakukan.

Justeru, tsunami Haji & Umrah perlu direalisasikan dalam kehidupan harian kita. Rupanya banyak lagi kerja yang kita kena lakukan, termasuklah mendidik diri sendiri.


InsyaAllah bersambung siri #3....

Saturday, January 10, 2009

Intifada, Boikot dan Airmata #1

Disaat ini seluruh dunia mengutuk Israel kerana kekejamannya. Di ketika ini juga, masyarakat kita berdemonstrasi mengutuk Amerika dan Israel. Kutukan dan kecaman kepada Israel bukan perkara baru. Setiap kali Palestin dibom, kita akan kecam Yahudi namun tiada impak kepada bangsa yang pernah mempermainkan dan menyembelih nabi-nabi dikalangan mereka.

Kempen memboikot barangan Israel dan Amerika juga bukanlah asing buat kita. Bermula dengan intifada pertama, usaha memboikot barangan bangsa laknatullah ini cuma menjadi mainan bibir orang-orang kita. Bila Palestin dibom, maka risalah boikot ini diedarkan melalui email dan di masjid-masjid tanahair. Bila gencatan senjata dipersetujui, kita berdikit-dikit terlupa usaha ini. Barangan milik billionaire Yahudi (termasuk penyokong mereka) seperti produk CocaCola,Johnson & Johnson, Starbuck, AmbiPur dan McDonald tetap mampu menembusi pendirian kita (Sila rujuk laman web PPIM). Kita sama-sama memberi pelbagai alasan untuk mengiyakan nafsu kita seperti susah untuk hidup sebab sudah biasa dengan brand tersebut (Nota: Senarai produk/brand di atas telah lama dipaparkan di laman web Persatuan Pengguna Islam Msia-PPIM). Lebih mendukacitakan, brand-brand di atas telah berjaya menembus pintu sempadan Tanah Haram dan kini beroperasi di depan Masjidil Haram dan sekitar Masjid Nabawi.

Ketika pertengahan Intifada kedua, saya sedang membuat kajian bagaimana brand Starbucks berjaya menjadi salah satu “World Best Brand” (Nota: brand adalah salah satu elemen kajian Kedoktoran saya). Saya kagum dengan kejayaan Howard Schultz, pengasas dan pengerusi Starbuck, membina empayar kopi jenama Starbucks sehingga mampu menembusi hampir seluruh pelusuk dunia (ketika kajian dibuat, mereka berhadapan dengan masalah menembusi negara China). Hasrat kajian saya ialah agar saya mampu menjadi tenaga pakar muslim dalam bidang ini (bukan sekadar teori tetapi membantu organisasi korporat saya dalam membina brand tersendiri melalui applied business research). Saya turut menghantar email ke Howard Schultz menyatakan bahawa saya kagum dengan pencapaian beliau dan berhasrat untuk menemui beliau satu ketika nanti. Email saya dibalas mesra. (nota: Muhamad s a w, para sahabat, Salahuddin Al-Ayubi dan Muhamad Al-Fateh tetap terpahat di hati saya untuk dijadikan model kehidupan).

Saya mula tertarik untuk mengunjungi Starbucks, tidak selalu tetapi ia benar-benar menarik hati saya dengan cara mereka menyusun strategi perniagaan. Saya banyak belajar di sini melalui pemerhatian dan kajian. Semasa kemuncak intifada kedua diistiharkan oleh pimpinan Palestin (Hamas) sekitar pertengahan tahun 2006, internet melaporkan bahawa Starbucks “mewakafkan” lebih kurang 20% hasil keuntungan syarikat untuk membantu negara Israel laknatullah. Saya kurang percaya dengan laporan ini, lantas menghantar satu lagi email kepada Schultz bertanya apakah sebaran internet ini benar. Saya tidak menerima jawapan waktu itu namun lebih kurang seminggu kemudian, Starbucks telah membuat kenyataan akhbar menafikan berita tersebut (sila rujuk www.starbucks.com topic “rumor response” (berita sekitar September 2006).

Press release tersebut amat meragukan. Pertama, Schultz sendiri pernah membuat perakuan sedemikian di sebuah laman web pro-israel (saya tidak ingat nama laman web tersebut). Kedua, Starbucks ketika itu sedang menyusun global strategy untuk menembusi pasaran di negara Timur Tengah dan China. Bagi kepentingan perniagaan global, Starbucks perlu segera membuat penafian.

Namun saya sedikit insaf, apakah saya melakukan kesilapan dengan “menyokong” entiti perniagaan pro-israel? Saya beristighfar dan saya memohon keampunan Allah kerana kelalaian saya.

“Ya Allah, Jika RM20 setiap kali aku belanjakan di Starbucks menyebabkan seorang anak kecil Palestin dibunuh dengan kejam, maka ampunilah aku, maafkan aku duhai Palestin…”

Berbalik kepada boikot barangan Yahudi. Selektif boikot sudah lama dianjurkan namun kita tidak mampu berjihad dengan nafsu kita. Secara umum, kita gagal melayan nafsu dengan mengikut stail kehidupan dengan mengunjungi outlet brand-brand berkenaan. Kita (termasuk saya) kadang-kadang terpaksa melayan kerenah anak-anak kecil kita untuk mengunjungi outlet tersebut. Ada sesuatu yang kita cari di outlet brand-brand ini (saya akan bicarakan di waktu lain). Saya juga terfikir, bahasa Melayu pun kita hampir gagal pertahankan, bagaimana hendak pertahankan Palestin dan mengembalikan Al-Aqsa? Dengan lain perkataan, kita juga kian hampir gagal berjihad mempertahankan bahasa Melayu, bahasa nenek moyang kita (Ya Allah, selamatkanlah bahasa Melayu di Tanah Melayu tercinta ini).

Jadi apa yang boleh kita lakukan dalam konteks boikot barangan Yahudi ini?
Saya tiada jawapan istimewa untuk soalan ini. Jika berpandukan fatwa Sheikh Dr Yusuf AL-Qardawi, Kita wajib membantu Palestin dalam apa bentuk sekalipun.Cuma sekadar pendapat, tips selektif boikot berikut boleh diusahakan:

1. Kita perlu sama-sama berjihad mengawal nafsu kita dan berkira-kira berbelanja di outlet-outlet ini (kepada Para Haji/Hajjah- lontarkan nafsu ini sebagaimana kita gembira lontarkan dan tinggalkan batu-batu lontaran ketika di tiga Jamrah).

2. Terangkan kepada anak-anak kecil kita, mengapa kita dan mereka perlu melakukannya.

3. Istiqamah dengan pegangan dan pendirian kita (usaha berterusan walaupun gencatan senjata mungkin akan berlaku sedikit masa lagi).

4. Sering ingat-mengingati antara sesama kenalan akan wajibnya memboikot (janganlah hangat-hangat taik ayam. Jika tuan/puan terjumpa saya di outlet-outlet ini, sila tegur saya).

5. Bekerja keras untuk berdakwah supaya bukan Islam dapat menerima Islam, bershahadah dan mengamalkan ajaran Islam.

6. Meneruskan usaha mendidik masyarakat khususnya generasi muda untuk menghayati dan memahami kepentingan Palestin .

Moga tulisan dan muhasabah ini bermanfaat.

InsyaAllah bersambung siri #2…….

Friday, January 9, 2009

Pelajar Arab

Assalamualaikum Pengunjung yang budiman,

Kelmarin saya melangkah ke Institut Pengajian Siswazah untuk menghantar tesis kedoktoran akhir yang telah dibuat ’hardbound’ dan 2 CD. Ini adalah proses akhir untuk program kedoktoran. Walaupun pembetulan tesis boleh disiapkan dalam tempoh kurang dari satu minggu, saya mengambil sedikit masa untuk membetulkan perkara-perkara kecil, perlu lebih berhati-hati. Kemudian perlu bertemu semula dengan profesor/penyelia dan menghantar kepada internal examiner untuk pengesahan bahawa tesis sudah disiapkan dan boleh dibuat final binding. Seronok rasanya bila tesis telah dibukukan dengan warna meron itu.

Ketika berada di Graduate Business School, tiga pelajar berbangsa Arab sedang mengisi borang untuk mengulang semester belajar (masters). Bila ditanya, mereka menjawab ”I failed few subjects”. Bila lihat wajah mereka, saya rasa kasihan. Mereka adalah bangsa yang diberikan kemuliaan dengan lahirnya rasul ulung Muhamad s a w di kalangan bangsa Arab. Bila ditanya dalam bahasa Arab, jawapan mereka membuat saya kagum dengan kehebatan bahasa mereka. Namun sayang sekali, dikala Palestin dihujani peluru dan bom, tiga pemuda Arab ini masih boleh tidur dan gagal beberapa mata pelajaran.

Beberapa minggu lepas, akhbar tempatan ada melaporkan seorang pelajar Saudi ditahan kerana mengedar dadah. Ianya amat memalukan. Di kisah lain, sepupu saya yang bekerja di sebuah hotel di ibukota memaklumkan bahawa adalah perkara biasa pemuda arab ini meminum arak. Wallah’alam.

Saya berdoa agar Allah menyelamatkan pemuda muslim Melayu, Arab dan lain-lain dari leka akan peri pentingnya berjuang menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran/kezaliman. Jika kita mampu membetulkan acuan hidup dan dengan berbekalkan shahadah serta semangat Haji, saya yakin muslim mampu membebaskan al-aqsa dari cengkaman zionist.

”Ya Allah selamatkanlah Palestin dan pemuda-pemuda muslim waris risalah Islam.”

Monday, January 5, 2009

Belanja Haji Meningkat< Apa Pendapat Anda?

Apa Pendapat Anda Dengan Berita Ini?
Adakah wajar TH menaikkan kos Haji 2009?
Apakah benar kemungkinan hasil pelaburan TH akan merosot tahun ini?

*************************************************
BERITA UTAMA
Sumber: Utusan Malaysia 5 Jan 2009

-->
Belanja haji 2009 mungkin meningkat kepada RM11,000
HUTAN MELINTANG 4 Jan. -

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kemungkinan akan menghentikan subsidi sebanyak RM2,600 bagi setiap jemaah untuk menunaikan haji mulai tahun ini. Ekoran itu kos untuk menunaikan haji tahun ini dijangka meningkat RM11,000 berbanding hanya RM8,973 tahun lalu. Ia meliputi kos penerbangan, penginapan, kesihatan dan pengangkutan di tanah suci Mekah dan Madinah pada musim haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, subsidi itu mungkin terpaksa ditarik ekoran pendapatanTabung Haji daripada sumber pelaburan yang semakin berkurangan berikutan kemelesetan ekonomi dunia. Katanya, ia termasuk kesan harga komoditi kelapa sawit yang merudum hingga menjejaskan pendapatan Tabung Haji.

"Oleh itu, Tabung Haji kemungkinan tidak akan memberikan subsidi tahun ini dan bakal jemaah mestilah bersedia menampung sendiri kos yang pernah disubsidikan Tabung Haji," katanya kepada pemberita di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Sukan Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Perak (Kemas).
Ahmad Zahid berkata, tahun lalu Tabung Haji memberikan subsidi sebanyak RM2,600 bagi setiap jemaah untuk mengurangkan kos penerbangan, penginapan, kesihatan dan pengangkutan di tanah suci Mekah dan Madinah pada setiap musim haji.

Beliau berkata, jemaah haji yang mengikuti pakej anjuran anak syarikat Tabung Haji turut diberi subsidi kira-kira RM1,000. Menurut beliau, Tabung Haji mampu berbuat demikian sebelum ini kerana lembaga itu memperoleh 67 peratus pendapatan daripada keuntungan pelaburan saham di kaunter berlandaskan syariah Islam di Bursa Saham Malaysia dan hasil pelaburan hartanah serta jualan komoditi kelapa sawit.

Selain itu Ahmad Zahid juga yakin jumlah kuota 26,000 jemaah haji yang diberikan kerajaan Arab Saudi untuk negara ini tidak terjejas langsung berikutan kegawatan ekonomi dunia.
Setakat ini, tambahnya, 380,000 umat Islam di negara ini mendaftar untuk menunaikan ibadah haji tetapi hanya 26,000 sahaja kuota yang diberikan. Beliau yakin ramai jemaah mampu membiayai kos tambahan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk menunaikan ibadah haji tahun ini. "Keadaan ini berlaku ketika musim kemelesetan ekonomi dunia dan ia mungkin kembali seperti asal apabila kedudukan hasilnya pulih semula," katanya.

**************************************************

Berilah komen ikhlas anda di sini.

Sekolah Bermula

Assalamualaikum pengunjung blog ini,
Alhamdulilah kita masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk memperbaiki diri dan membuat persiapan perjalanan destinasi akhir kita mengecapi redha Allah. Alhamdulilah, anak-anak kita sudah mula bersekolah. Maka masing-masing mula sibuk dengan urusan sekolah anak-anak.

Semalam, saya menghantar dua orang anak saya pulang ke sekolah mereka di SBPI Gombak dan SBPI Temerloh. Satu perkara yang saya perlu puji pengurusan sekolah (mungkin sekolah lain juga sama) ialah proses urusan balik ke sekolah lebih efektif. Jika tahun-tahun dulu, ibubapa terpaksa beratur panjang dan menyediakan wang melebihi RM1,000 seorang, tapi tahun 2009 saya cuma perlu membayar yuran asrama RM250 seorang + Takaful RM1.50. Yang lebih penting bagi saya, masa yang produktif dapat digunakan untuk berbincang dengan guru kelas dan bertemu Pengetua sekolah (proses non value add beratur panjang utk bayar fees kini sudah diminimakan sebaik mungkin). Syabas kepada pihak sekolah SBPI Gombak, SBPI Temerloh dan KPM!

Minggu sudah saya bermesyuarat dengan sebuah sekolah KAFA di mana waiting list untuk anak-anak darjah satu mencecah melebihi 50 orang. Pihak KAFA tidak mampu untuk menyediakan kelas (kelas terhad) dan budget untuk menyediakan kelas tambahan menelan belanja yang besar. Harapan besar ibubapa untuk anak-anak mereka menguasai ilmu agama sememangnya perlukan bantuan. Dua perkara yang mungkin kita boleh bantu. Pertama, pihak sekolah perlu menyediakan tabung dana pembangunan (Jika ada pembaca blog ini jutawan, businessman atau sesiapa yang ingin memberi zakat/sumbangan saya amat alu-alukan bantuan kewangan. Sila email saya di tigeridz@gmail.com). Kedua, kami telah berusaha untuk memberi motivasi dan imbuhan terbaik untuk guru-guru agama ini. Usaha kerajaan negeri untuk memberi kenaikan gaji ke RM1,000 amat kami hargai. Guru-guru agama ini telah banyak berkorban dan mereka juga insan biasa yang memerlukan kehidupan. InsyaAllah saya sedang memikirkan apakah pendekatan terbaik agar masyarakat, persatuan penduduk, guru, pengurusan masjid dapat berganding bahu membangunkan aset intelektual generasi muda.

Moga Allah memberi kekuatan dan keikhlasan untuk menjayakan misi ini.

Thursday, January 1, 2009

Rakaman Astro Oasis

Alhamdulilah dengan kebesaran Allah dan sempena Hijrah 1430, rakaman Hijrah slot Iktibar Dari Tanah Suci telah berjaya dirakamkan semalam di rumah saya dan di Masjid Al-Munawarrah Shah Alam. Proses yang mengambil masa lebih 6 jam ini memberi pengalaman yang amat berharga kepada saya disamping berpeluang berdakwah akan keperluan menunaikan haji kepada tiga orang krew pengambaran.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakannya khususnya krew TV cik Layla, Fathi dan Hafiz, isteri dan anak-anak saya, Hj Fadil, AJK Masjid Munawarrah dan jamaah masjid.

Saya amat berharap perkongsian ini diterima Allah sebagai satu amal kebaikan, pembuka tirai Hijriah 1430. Moga usaha ini memberi manfaat dan impak positif kepada masyarakat.

InsyaAllah saya akan maklumkan tarikh siaran slot ini di posting akan datang.