Followers- Jalinan Ukhuwah

Monday, September 28, 2009

Rompak

Dua bulan lepas saya ada berkongsi cerita berkenaan kereta rakan saya dirompak/di larikan oleh pemuda hindu di Putra Heights. Ketika itu, saya komen adakah Tanah Melayu ini aman? Pada malam Eid Fitri pula, sebuah bank yang baru beberapa hari di buka di Pusat perniagaan Putra Height dirompak.

Nauzubillah, Hijran mahjura. Sejak akhir-akhir ini begitu banyak kes sebegini berlaku. Berikut adalah contoh-contoh lain (kisah benar):-

Kes 1 :
Dua hari sebelum cuti Raya (Kejadian berlaku di KL jam 5.30petang), rakan saya menerima nasib yang kurang baik di mana kereta beliau di himpit oleh pemuda hindu. Pemuda hindu ini, dengan lakonan watak bersimpati kononnya berlaku kebocoran di break kereta, telah memaksa rakan saya memberhentikan kereta Mercedes nya. Selepas kereta beliau berhenti, si India ini terus menunjukkan kebocoran. Tanpa berlengah, beliau terus membuka tayar kereta. Lebih kurang 5 minit kemudian, rakan gangster beliau datang membawa tayar pergi. Dalam tempoh 10 minit sahaja, empat pemuda hindu lain berbadan sasa dan berwajah gangster datang ke lokasi dan menyerahkan bil RM1,900 untuk khidmat mereka. Cuba fikirkan, jika anda keseorangan apa yang anda boleh lakukan?

Kes 2:
Di Klang berhampiran Jusco Bukit Raja/ Padang Jawa, pemuda hindu melakukan aktiviti yang sama. Kereta kenalan anak saudara saya di himpit dua buah kereta dipandu pemuda hindu dan terus melarikan kereta beliau. Kejadian berlaku di waktu malam.

Kes 3:
Rumah rakan saya dimasukki orang dan kehilangan barang-barang penting seperti handbag, kain mahal dll. Kesilapan beliau ialah membiarkan pagar dibuka dan pintu rumah tidak dikunci dengan alasan hanya keluar sebentar untuk hantar anak ke pusat tuisyen.

Kes 4
Jiran saya kehilangan kereta yang di letakkan di luar rumah tanpa ada alat-alat keselamatan lain. Ketika bangun tidur kereta beliau masih ada di luar, tetapi bila sudah bersiap untuk ke pejabat, kereta sudah tiada.

Tips berikut boleh membantu kita bersama bagi mengelakkan risiko ini:-

1. Elakkan memandu berseorangan khususnya di sebelah malam.

2. Hindarkan jalan-jalan yang sunyi

3. Jangan hon pemandu kenderaan yang kurang ajar. Jika mereka cuba ’provoke’, buat tidak tahu aje.

4. Kunci pagar rumah walaupun keluar hanya sebentar

5. Gunakan alat keselamatan kenderaan yang boleh menjamin ketenangan fikiran. Tidak boleh mengharap sistem pengera kereta semata-mata.

6. Jika anda seorang wanita dan memandu seorang diri, sila tengok cermin belakang dan cermin sisi kereta jika ada kemungkinan kereta anda diekori.

7. Bagi kes no 1 di atas, jika kita berhadapan dengan situasi ini, segera telefon rakan-rakan anda. Jika terdesak minta bantuan peronda/polis lebuhraya. Jika anda ahli AAM (bukan untuk kempen AAM), pedulikan apa-apa tawaran dari mana-mana pihak untuk membantu. Maklumkan bahawa anda ahli AAM dan unit teknikal AAM akan datang membantu. Segera telefon Rescue Team AAM (walaupun kadang-kadang mereka tiba lewat akibat tugas mereka di tempat lain).

Adakah Tanah Melayu ini aman?

Moga Allah sentiasa memelihara kita di setiap perjalanan kehidupan.

Friday, September 25, 2009

Passpot



Setiap kali Eid Fitri, jadual ziarah harian amat padat. Namun kali ini ianya sedikit berlainan. Ramai makcik dan pakcik sudah kembali ke rahmatullah. Sepi juga tanpa mereka. Terdapat sedikit ruang masa bila tidak lagi menziarahi mereka. Ketika di kampong isteri di Temerloh, masyarakat kampong menjayakan aktiviti tahunan bertahlil beramai-ramai di tanah perkuburan pada pagi Raya ke-2. Walaupun aktiviti tahunan ini bukanlah sunnah rasul s.a.w, usaha untuk mengajak masyarakat ke tanah perkuburan perlu dihargai. Di sudut negatif, kelihatan banyak perkara-perkara lagha berlaku.

Kelmarin saya mempunyai agenda tersendiri bagi mengisi masa. Membawa anak-anak ke kedai buku dan berurusan dengan Imegresen serta pejabat Tabung Haji di Kompleks PKNS Shah Alam menjadi pilihan kami. Kompleks perniagaan Melayu ini agak lenggang, tidak seperti kebiasaan.

Di pejabat TH, ramai juga tetamu mengisi borang mendaftar Haji. Kaunter pendaftaran haji juga amat perlahan. Menuggu giliran melebihi 30 minit adalah normal di sini. Ketika buku akaun TH saya dikemaskini, saya notis kod HJBC dikredit ke akaun sebanyak RM90. Saya bertanya pegawai bertugas mengenai kod HJBC ini. Beliau lantas menjawab bahawa kod itu adalah pulangan dari wang paspot Haji yang telah didebitkan ke akaun bakal jamaah semasa mendaftar Haji.

Alhamdulilah, langkah kerajaan/TH/Imegresen mengubah polisi ini perlu dipuji. Ini dapat menjimatkan kos bagi bakal jamaah Haji. Saya dimaklumkan berkuatkuasa tahun ini, paspot Haji tidak dikeluarkan lagi. Jamaah Haji diminta mempunyai paspot pintar antarabangsa Malaysia untuk tujuan Haji.

Kemudian saya ke pejabat Imegresen di Tingkat 2 untuk mengambil borang memperbaharui paspot anak-anak kecil saya. Pejabatnya juga tidak kelihatan sibuk. Borang juga kehabisan...? Ada beberapa kemungkinan ianya agak kurang sibuk. Pertama, rakyat Malaysia menanti tarikh 1 Oktober untuk mendapat harga baru paspot yang telah diturunkan dari RM300 ke RM100. Ini juga amat menjimatkan. Kedua, mesin pintar memperbaharui paspot di sini mampu mengurangkan kesesakan di kaunter.

Di akhir persinggahan, saya dan keluarga ke MPH SACC Mall untuk membeli bahan bacaan.
Promosi buku-buku agama dan novel Melayu masih diteruskan.



Photo: Buku Haji Muda dipamirkan di ruang promosi MPH SACC Mall Shah Alam

Ikhlas dari saya, Tahniah kepada Tabung Haji dan pejabat Imegresen kerana meringankan perjalanan Haji/Umrah/Ziarah bakal tetamu Allah.

Sunday, September 20, 2009

Selamat Hari Raya Eid Fitr


Allah berbicara Surah al-Baqarah: 183 bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Alhamdulilah & tahniah kepada semua kerana berusaha keras menghidupkan amalan Ramadan.. Sudah tentu kita mempunyai banyak pengalaman, ilmu, suka dan sedih di sepanjang tarbiah ramadan ini. Dengan sifat Ar-rahman dan Ar-Rahim, Allah memberi kita ganjaran besar dan rahmat yang melimpah di bulan mulia ini. Kita juga amat mengharap belas kasih Allah untuk mengurniakan kita dengan ganjaran Lailatul Qadr biarpun usaha kita mungkin amat kecil. Akhirnya, kita diharapkan mampu menuju dan menjadi insan bertaqwa selepas Ramadan bersesuai dengan ayat Quran di atas.

Bila Shawal mengukir senyum menghampiri kita, kita disunatkan untuk bertakbir. Intipati Takbir Raya menuntut kita menyelami hakikat hubungan Al-Malik dengan hambaNya. Ianya bermula dengan :

1. Kita melafazkan Allah itu Maha besar. Justeru, hendaklah kita sedar akan kebesaran-Nya.

2. Kita melafazkan segala pujian hanya untuk Allah. Justeru, hanya Dialah sahaja yang berhak menerima pujian.

3. Kita melafazkan Allah itu Maha Suci.Justeru hendaklah kita yakin dan tidak sangsi dengan kesucian-Nya.

4. Kita melafazkan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Justeru,janganlah sesekali kita mencari illah lain serta menduakan-Nya.

5. Kita melafazkan ikhlas dalam agama mahupun dibenci orang kafir. Lantas berpeganglah pada iman kita.

6. Kita melafazkan Allah itu menepati segala janji. Maka hendaklah kita tidak ragu-ragu lagi dengan janji-Nya.

Eid adalah hari kemenangan. Kita mengakui akan kebesaran dan keagungan Allah. Justeru kita perlu bertakbir dengan semangat untuk menunjukkan kekuatan kita kepada musuh-musuh Allah. Takbir mendayu-dayu mungkin boleh menyentuh hati. Namun ianya tidak cukup untuk memberi signal kepada musuh-musuh Allah bahawa kita telah kembali kepada fitrah dan kita sudah bersedia membawa panji-panji Islam biarpun mereka membenci kita (nota: sila hayati makna takbir Raya).

Eid hari kemenangan ini juga menuntut kita untuk mengucapkan Tahniah kepada semua insan yang kita temui. Ucapan tahniah dengan muka yang manis akan dapat memperkukuhkan lagi ukhuwah dan kasih sayang sesama kita.

Eid juga adalah hari kita ingat-mengingati tugas dan peranan kita. Peranan sebagai dai’ pembawa risalah agung ini perlu direalisasikan bila-bila dan di mana sahaja termasuk di hari Eid ini. Bila menyingkap kisah silam, saya teringat masa kecil-kecil dahulu setiap pagi raya saya bersegera memohon maaf kepada abang-abang dan kakak-kakak saya. Bila bermaafan dengan kakak-kakak saya, saya akan tanya satu soalan cepumas ”Bila hendak bertudung?” Waktu itu (tahun 80an), pemakaian tudung dianggap ekstrim, janggal dan juga dipanggil tudung dakwah. Bila setiap tahun kakak-kakak saya menerima soalan cepumas ini dari adik bongsu mereka, akhirnya mereka bertudung. Sekarang mereka sudahpun menunaikan haji dan umrah. Inilah kehebatan Eid Fitr yang Allah beri kepada kita (khususnya kepada saya).

Moga kita menjadi insan yang lebih baik hasil tarbiah Ramadan. Saya berdoa agar kita sama-sama diberi rahmah, maghfirah dan dihindarkan dari bahang api neraka. Moga tahap Taqwa kita meningkat ke tahap yang lebih tinggi demi membawa risalah mulia ini. Amin!

Akhir madah, Selamat Hari Raya Eid Fitri Maaf Zahir batin dari saya sekeluarga.

Friday, September 18, 2009

Tips Eid Mubarak

Malam semalam saya pulang lewat kerana berurusan di luar. Sekitar jam 11 malam, jalanraya menuju Lebuhraya Karak dari arah Gombak dan Cheras agak sesak berKm panjangnya. Ia memberi indikasi bahawa warga kota sudah mula memulakan perjalanan pulang ke kampung.

Justeru saya teringat beberapa tulisan saya berkaitan persediaan Eid Fitri. Berikut saya ringkaskan dan kongsikan kepada pengunjung blog ini.

Tip Ringkas Menyambut Eid Mubarak (sekadar mengingatkan diri sendiri):-

1. Pada Malam Eid Fitri

a) Bayar Zakat fitrah di waktu afdhal iaitu selepas berakhirnya Ramadan sehingga sebelum solat Eid Fitri. Dicadangkan bayar pada malam pertama syawal kerana ada dua kemungkinan berlaku pada pagi raya. Pertama, kita mungkin terlupa dan kedua mungkin kesibukan imam/amil di pagi raya menyebabkan meja kutipan zakat tidak dibuka.

b) Kekalkan Solat Jamaah

c) Berzikir

d) Berdoa. Al-Imam Al-Syafie di dalam kitab Al-Umm telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa. Beliau menyebut di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah diberitahu bahawa sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban."

e) Bertakbir. Tiada salahnya memasang langsir dan membakar lemang. Justeru, alangkah baiknya jika kerja-kerja ini disulam dengan laungan takbir memuji dan mengagungkan kebesaran Ilahi. Ianya adalah amalan yang dituntut.


2. Pagi Raya:-


a) Bangun awal seperti kita bangun sahur (Contoh jam 5 pagi)

b) Solat Tahajud dll terlebih dahulu.

c) Solat Subuh berjamaah di Masjid (bagi lelaki)

d) Bagi muslimah, segerakan menyediakan sarapan pagi bersandarkan hadis diriwayatkan daripada Anas r.a, beliau berkata:
"Rasululah SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad).

e) Sebelum melangkah ke masjid untuk solat Eid disunatkan
i) mandi Eid fitri (Hadis riwayat Ibnu Majah)
ii) Memakai pakaian yang terbaik yang kita ada (bukan pakaian termahal)
iii) Memakai minyak wangi yang sesuai
iv) Bersarapan pagi dan bertakbir bersama ahli keluarga/anak-anak
v) Bermaafan


3. Selepas Solat Eid

a) Budaya menziarahi pusara ayah/ibu/nenek perlu diteruskan. Di sini juga kita berpeluang bertemu dengan kawan-kawan lama di kampung yang turut sama menziarahi pusara.

b) Menziarahi sanak saudara. Ada rakan-rakan saya pula pergi ziarah padang golf selepas solat sunat Raya, ada juga sudah tempah tiket wayang; Astaghfirullah! Hindarilah budaya yang bukan sunnah Rasul ini. Utamakan menziarahi warga tua/pakcik/makcik.

c) Memberi sadaqah berupa ’wang raya’ kepada fakir miskin/anak yatim dan anak-anak kecil dan orang-orang tua.


4. Tip Ziarah:-


a) Rancang perjalanan

b) Ziarah pada waktu yang sesuai. Jika boleh, telefon dahulu supaya tuan rumah ada (supaya tidak buang masa dan tenaga kita).

c) Makan dan minum ikut kemampuan. Makan apa sahaja yang disediakan oleh tuan rumah. Jangan membebankan tuan rumah.

d) Doakan tuan rumah

e) Jika sudah tiba waktu solat, usahakan ke masjid atau mohon keizinan solat berjamaah di rumah tuan rumah.

Moga tips mudah dan ringkas ini bermanfaat buat sahabat pengunjung blog sebagai persediaan menyambut Eid-Fitr.

Wednesday, September 16, 2009

Lailatul Qadr

Ramadan bakal berakhir 3 hari lagi. Kebanyakkan masjid sudah melaksanakan khatam Quran. Individu seperti saya (mungkin tuan/puan juga) masih terkial-kial untuk khatam secara individu. Atau mungkin ada juga yang sudah keletihan. Sejak malam 21 Ramadan pula, cuaca agak dingin; syok tidur. Sebelum subuh pula, hujan turun dengan lembut dan amat nyaman. Begitu merelekskan fikiran dan badan. Boleh juga menjadi excuse untuk tidak berjamaah subuh di Masjid.

Bila menyentuh lailatul Qadr pula, ada rakan-rakan yang sudah give-up. Alasan mereka Lailatul Qadr sudah pun berlalu berdasarkan penilaian mata kasar. Ada yang menyebut pada malam 23 dan ada yang berhujah malam 25 lalu. Justeru, apa perlunya bekerja keras mengejar lailatul Qadr jika ia sudahpun berlalu? Hujah suasana tenang di pagi tersebut dan mentari kurang cahayanya selepas subuh bukanlah hujah yang tepat. Ianya mempunyai sandaran hadis, namun saya berpendapat bukankah masih ada baki 3 hari lagi untuk diusahakan? Tiada siapa yang boleh nyatakan bahawa seseorang itu sudah memperolehi lailatul Qadr, ianya satu nilai abstrak tinggi yang hanya Allah dan para malaikatNya sahaja yang mengetahui tarikh sebenar.

Mungkinkah malam ini (27 Ramadan) malam lailatul Qadr?

Ubay bin Ka’b berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui bila lailatul qadr itu, iaitu malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk solat padanya. Iaitu malam yang esok paginya (adalah hari ke) dua puluh tujuh. Adapun tandanya adalah matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tidak menyilaukan.” (HSR. Muslim no. 762, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Humaidi dan lainnya).


Ibnu Abbas berkata: “Lailatul Qadr adalah malam yang lembut, sedang, tidak panas, tidak dingin; matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan lembut, merah“. (HR. at-Thayalisi 349, Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar dengan sanad yang hasan)

Photo Langit Merah di Bumi Mekah. Satu hari indah di bulan Ramadan 2009.

Apa sahaja hujah, kita masih ada lagi 3 hari untuk usahakan lailatul Qadr. Yang penting, kita teruskan meningkatkan amalan kerana sasaran akhir kita adalah menjadi insan yang bertaqwa selepas Ramadan sebagaimana yang di jelaskan di dalam Quran. Kepada bakal jamaah haji, waktu yang tinggal ini adalah peluang terbaik untuk melatih diri beriktikaf dan melakukan solat-solat malam.

Mutiara Bicara:
Untungnya jika dapat memperolehi lailatul Qadr di Mekah al-Mukarramah.

Friday, September 11, 2009

Umrah Ramadan 2009 #3 Hujan di Mekah

Mungkin anda sudah mengetahui cerita ini melalui akhbar atau blog-blog lain.

Pada petang terakhir Syaaban, tiba-tiba hujan dan ribut pasir melanda Mekah. Penduduk tempatan melonjak gembira, manusia seolah-olah berpesta di bawah Pancur Emas, sebahagian pula menadah tangan untuk berdoa. Petugas Masjidil Haram -Bin Laden Corp pula bertungkus lumus menggulung karpet, membersihkan kawasan dsbnya. Orang tempatan menyatakan sudah lebih satu tahun hujan tidak turun di Mekah.

Photo diambil di atas bukit penginapan kami. Masjidil Haram agak kurang jelas. Hujan dan ribut pasir menghalang pemandangan.

Ini adalah kali ke 2 saya melalui Pengalaman berhujan di bumi Mekah. Kali terakhir tahun 2002 ketika menunaikan Haji. Inilah barakah. Hujan turun di penghujung Syaaban seolah-olah bersama-sama kami meraikan kehadiran Ramadan.

Satu perkara yang saya lihat, ribut pasir yang kencang sebenarnya menakutkan. Itu adalah perasaan saya. Jamaah mencari tempat perlindungan bukan kerana hujan tetapi bimbang dengan pukulan ribut pasir. Begitulah agaknya suasana padang mahsyar di mana manusia tidak ketentuan mencari tempat perlindungan.....

Dalam suasana yang kelam kabut, saya sempat berdoa moga Allah menjemput saya hadir di Tanah Suci sebagai tetamu khasnya setiap tahun dan mengizinkan pengunjung blog ini untuk menikmati indahnya beribadah di Masjidil Haram. Amin! (Nota:Amin kan juga doa saya ini).

Thursday, September 10, 2009

Umrah Ramadan 2009 #2 : Iftar di Masjidil Haram

Berbuka puasa di Masjidil Haram adalah satu pengalaman baru buat saya. Pada hari pertama Ramadan, saya memberi taklimat kepada rakan-rakan dan berbincang beberapa perkara ibadah termasuk adakah perlu kita perbanyakkan umrah di bulan Ramadan dan beberapa tips lain.


Kami melangkah ke Masjid sekitar jam 5 petang. Masjid sudahpun penuh. Alhamdulilah ada sedikit ruang sempit untuk kami. Kami mengambil peluang dengan membaca Al-Quran sehingga petugas menyediakan keperluan berbuka puasa seperti buah tamar, sedikit roti dan air panas kopi/teh Arab.

Photo: Persediaan iftar di Masjidil Haram

Suasana berbuka di sini jauh bezanya. Mereka berbuka dengan beberapa biji kurma dan minum banyak air zam-zam. Semangat ukhuwah begitu terasa kerana masing-masing berkongsi apa yang ada biarpun hanya sedikit bekalan. Tidak nampak gaya-gaya mewah dan riak. Di satu sudut saya perhatikan seorang CEO syarikat besar dari Kuwait amat sibuk mengarahkan pegawai/pekerja mereka menyediakan kurma dan air untuk jamaah dalam masjid. Mereka berebut-rebut memberi makan kepada insan-insan yang berpuasa.


Photo: Jamaah disediakan beberapa tray tamar dan air zam-zam untuk berbuka.

Satu perkara yang kita biasanya lupa dan tidak ambil pusing telah Allah tunjukkan kepada saya. Saya masih ingat arwah ayah saya berpesan dan guru-guru kita berpesan supaya banyakkan doa di bulan Ramadan. Budaya ini begitu jelas di Masjidil Haram. Kira-kira Sepuluh minit sebelum azan maghrib, hampir setiap individu di masjidil haram menadah tangan berdoa secara sendirian bagi mengambil barakah Ramadan. Melihat budaya positif ini, saya turut sama berdoa. Harapan saya agar saya mampu melakukan doa ini di setiap kali sebelum berbuka puasa (bukan doa makan aje ..).

Dalam tempoh 10 minit sahaja, petugas akan bertungkus lumus membersihkan kawasan solat. Mereka benar-benar professional dan pantas bertindak. Solat Maghrib segera dilaksanakan. Saya berpendapat (melalui pengalaman ini), solat maghrib selepas makan beberapa biji kurma dan beberapa teguk air zam-zam dapat meningkatkan tahap konsentrasi solat daripada makan berat, wallah’alam. Selepas solat maghrib, jamaah biasanya akan keluar dari masjid untuk pulang ke hotel atau mencari makanan kegemaran di kedai-kedai sekitar Masjidil Haram.

Mutiara Bicara:-
Allah memberi saya ilmu-ilmu dan pengalaman berikut:-
1. Lakukan doa 10 minit sebelum azan/ waktu berbuka.
2. Berkongsi makanan/minuman/rezeki dengan orang lain biarpun sedikit.
3. Berbuka dengan makanan ringan/kurma akan lebih memberi konsentrasi ibadah
4. Jika anda berpuasa di Mekah, datanglah awal ke Masjid kerana jika lewat Masjid akan penuh sesak.

Tuesday, September 8, 2009

Perjalanan Umrah Ramadan 2009 #1

Assalamualaikum semua pengunjung,

Catatan perjalanan umrah Ramadan agak lewat saya nukilkan akibat kesibukan tugas rasmi, tugas tidak rasmi dan pengisian Ramadan (nota: hanya alasan ini dapat saya beri..).

Perjalanan umrah kali ini mempunyai banyak kelainan. Pertama, kali ini saya mengambil pesawat Singapore Airlines. Setiap kali perjalanan umrah, saya akan mengambil pesawat yang berbeza supaya dapat meneliti perkhidmatan penerbangan berlainan, menambah pengalaman dan berpeluang ziarah ke negara orang secara percuma. Perkhidmatan Singapore Airlines sememangnya amat memuaskan. Bukan sahaja makanannya halal tetapi menyediakan ruang untuk penumpang menunaikan solat.

Kedua, inilah pertama kali saya menunaikan umrah berseorangan, tidak bawa isteri. Ianya mengundang emosi yang unik kerana setiap kali tawaf atau Saie isteri saya akan bersama saya, namun kali ini ianya tidak berlaku begitu. Ketiga, program umrah kali ini diuruskan sendiri dengan sokongan logistik minimum. Hanya menumpang di rumah keluarga Melayu-Arab ketika di Mekah. Ianya adalah suatu yang mencabar, namun pengalaman-pengalaman lalu sedikit sebanyak membantu.

Hari Pertama, tiba di Madinah sekitar jam 2 pagi. Saya tidak berlengah lagi. Terus bersiap untuk menemui tempat istimewa yang amat saya rindui – Raudah. Ketika rakan lain beristirehat/tidur, saya memanjangkan langkah ke Masjid Nabawi kerana bergerak secara sendirian di Raudah boleh mencairkan hati. Pak Majid (warga emas dari Baling, pertama kali ke Tanah Suci) terus melompat dari katil dan bertanya saya ”Anak nak pi masjid kah?” Saya menjawab ”Ya pakcik.” ”Pakcik nak ikut.” Tanpa saya pelawa, beliau segera bersiap.

Pagi hening itu, saya mampu membawa pakcik Majid solat sunat dan solat Subuh di Raudah. Ketenangan raudah tidak dapat diungkapkan dengan perkataan. Berada di sini lebih dari satu jam adalah hadiah khas dari Allah. Sempat juga saya muhasabah diri dan melihat kembali agenda hidup dan perjuangan. Sukarnya airmata untuk gugur, mungkin kerana kerasnya hati. Cuma bacaan imam solat Subuh mampu sedikit membantu diri yang doif ini.

Kelihatan ramai jamaah berpusu-pusu di Raudah

Selepas solat Subuh, saya membawa Pak Majid menziarahi makam Rasul s.a.w dan para sahabat.

Rindu akan Madinah dan Rasul s.a.w terubat juga akhirnya....

Monday, September 7, 2009

Menjunjung Kasih Tuanku

Alhamdulilah majlis lawatan dan berbuka puasa bersama DYMM Sultan Selangor telah berjaya dijalankan semalam 6hb Sept 2009/16 Ramadan 1430H. Majlis berlangsung dengan baik, di hadiri oleh pembesar negeri dan rakyat jelata dari berbagai keturunan (termasuk bukan Islam) dan tanpa mengira fahaman politik.

Sebelum berbuka puasa dan solat tarawikh, baginda Sultan mencemar duli menerima cenderahati buku Haji Muda sumbangan peribadi saya dan pengurusan Masjid Munawwarah.




Kelihatan baginda bertanya beberapa soalan mengenai buku Haji Muda, sempat juga saya memberi sinopsis ringkas. Kemudian secara tiba-tiba baginda menghulurkan tangan mengucapkan tahniah.

Saya berpendapat, usaha pengurusan masjid untuk mengimarahkan masjid tanpa mengira fahaman politik akan berjaya jika masing-masing mahu kembali kepada Al-Qur’an. Masyarakat muslim yang berpecah belah tidak akan menguntungkan siapa-siapa pun.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi menjunjung kasih kepada DYMM Sultan. Juga terima kasih kepada MB Selangor, Exco Agama S’gor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Majlis Di Raja , YB-YB dan semua yang hadir. Kepada AJK Masjid, Tahniah! Kerana anda telah melakukan sesuatu yang terbaik buat DYMM Sultan, ummah dan masyarakat faqir miskin dan ibu-ibu tunggal.

Thursday, September 3, 2009

Haji Muda akan ke Istana

Selepas kembali ke tanahair, banyak perkara urusan rasmi pejabat perlu diuruskan disamping aktiviti-aktiviti masyarakat yang perlu diteruskan. Blogpun tidak sempat hendak dikemaskini. Berikut adalah aktiviti terkini:-

***1. Haji Muda ke Istana ***

Saya menerima maklumat lewat malam semalam dari Setiausaha Masjid berkaitan buku Haji Muda akan ke istana. Saya terkejut menerima berita ini kerana ianya tidak pernah saya rancang atau saya fikirkan. Ungkapan ringkas saya, ”Alhamdulilah.” InsyaAllah unit protokol istana, pengurus projek lawatan DYMM Sultan Selangor ke Masjid Munawarah dan pengurusan masjid telah bersetuju buku Haji Muda diserahkan kepada DYMM Sultan sebagai cenderahati atas kesudian DYMM Sultan mencemar duli untuk bersama-sama rakyat di majlis iftar Masjid Munawwarah. Saya diminta menyerahkan 5 naskah buku Haji Muda kepada setiausaha masjid dan unit protokol istana. Jika perkara ini benar, ianya adalah satu penghormatan kepada penulis dan bakal memberi dorongan besar kepada saya untuk terus aktif bersama membangunkan masyarakat dengan acuan Islam.


***2. Tazkirah Ramadan***

Alhamdulilah, majlis tazkirah ramadan telah saya sampaikan di sebuah surau di Shah Alam malam semalam 2 Sept 2009. Undangan telah dibuat sebelum Ramadan lagi, yang mana saya merasakan perlunya saya berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu.

Secara ringkas, saya membicarakan akan pentingnya ummah memahami budaya jahiliah yang menyerang kita di setiap sudut. Dengan berpegang kepada kalimah syahadah, kita dituntut untuk menyusun masyarakat. Dalam konteks Ramadan, pemegang mohor shahadah diberi tiga bentuk kemuliaan iaitu rahmah, maghfirah dan keselamatan dari api neraka. Saya berkongsi tips bagaimana untuk kita memperolehi tiga bentuk kemuliaan ini. Di penghujung tazkirah motivasi ramadan, saya cuba kaitkan shahadah, kemuliaan dan perlunya kariah setempat sensitif kepada isu-isu masyarakat dan sama-sama membina generasi gemilang.

Hebahan Umum

HEBAHAN UMUM

MAJLIS IFTAR BERSAMA DYMM SULTAN SELANGOR dan rakyat Selangor akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 6 September 2009/ 16 Ramadan 1430H
Tempat : Masjid Al-Munawwarah, Seksyen 27 Shah Alam
Masa : 5 petang – 10 malam

Agenda:
5.00 Petang Ketibaan rakyat
5.30 Petang Ketibaan YAB Dato Menteri Besar Selangor
5.45 Petang Keberangkatan tiba DYMM Sultan

Penyampaian sumbangan kepada anak-anak Yatim/Fakir/Miskin
Ceramah Khas Nuzul Qur’an

7.18 malam Majlis Berbuka Puasa dan solat maghrib
Jamuan makan

8.27 malam Solat Isya, solat tarawikh
10.00 malam Santapan/jamuan makan
Keberangkatan pulang DYMM Sultan

Nota: Sumber agenda melalui unit protokol istana dan Setiausaha Masjid.


Seluruh muslimin-muslimat di jemput hadir untuk memeriahkan majlis khususnya dengan kesudian DYMM Sultan mencemar duli untuk bersama-sama dengan rakyat di majlis yang mulia ini.