Malam semalam saya pulang lewat kerana berurusan di luar. Sekitar jam 11 malam, jalanraya menuju Lebuhraya Karak dari arah Gombak dan Cheras agak sesak berKm panjangnya. Ia memberi indikasi bahawa warga kota sudah mula memulakan perjalanan pulang ke kampung.
Justeru saya teringat beberapa tulisan saya berkaitan persediaan Eid Fitri. Berikut saya ringkaskan dan kongsikan kepada pengunjung blog ini.
Tip Ringkas Menyambut Eid Mubarak (sekadar mengingatkan diri sendiri):-
1. Pada Malam Eid Fitri
a) Bayar Zakat fitrah di waktu afdhal iaitu selepas berakhirnya Ramadan sehingga sebelum solat Eid Fitri. Dicadangkan bayar pada malam pertama syawal kerana ada dua kemungkinan berlaku pada pagi raya. Pertama, kita mungkin terlupa dan kedua mungkin kesibukan imam/amil di pagi raya menyebabkan meja kutipan zakat tidak dibuka.
b) Kekalkan Solat Jamaah
c) Berzikir
d) Berdoa. Al-Imam Al-Syafie di dalam kitab Al-Umm telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa. Beliau menyebut di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah diberitahu bahawa sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban."
e) Bertakbir. Tiada salahnya memasang langsir dan membakar lemang. Justeru, alangkah baiknya jika kerja-kerja ini disulam dengan laungan takbir memuji dan mengagungkan kebesaran Ilahi. Ianya adalah amalan yang dituntut.
2. Pagi Raya:-•
a) Bangun awal seperti kita bangun sahur (Contoh jam 5 pagi)
b) Solat Tahajud dll terlebih dahulu.
c) Solat Subuh berjamaah di Masjid (bagi lelaki)
d) Bagi muslimah, segerakan menyediakan sarapan pagi bersandarkan hadis diriwayatkan daripada Anas r.a, beliau berkata:
"Rasululah SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad).
e) Sebelum melangkah ke masjid untuk solat Eid disunatkan
i) mandi Eid fitri (Hadis riwayat Ibnu Majah)
ii) Memakai pakaian yang terbaik yang kita ada (bukan pakaian termahal)
iii) Memakai minyak wangi yang sesuai
iv) Bersarapan pagi dan bertakbir bersama ahli keluarga/anak-anak
v) Bermaafan
3. Selepas Solat Eid•
a) Budaya menziarahi pusara ayah/ibu/nenek perlu diteruskan. Di sini juga kita berpeluang bertemu dengan kawan-kawan lama di kampung yang turut sama menziarahi pusara.
b) Menziarahi sanak saudara. Ada rakan-rakan saya pula pergi ziarah padang golf selepas solat sunat Raya, ada juga sudah tempah tiket wayang; Astaghfirullah! Hindarilah budaya yang bukan sunnah Rasul ini. Utamakan menziarahi warga tua/pakcik/makcik.
c) Memberi sadaqah berupa ’wang raya’ kepada fakir miskin/anak yatim dan anak-anak kecil dan orang-orang tua.
4. Tip Ziarah:-•
a) Rancang perjalanan
b) Ziarah pada waktu yang sesuai. Jika boleh, telefon dahulu supaya tuan rumah ada (supaya tidak buang masa dan tenaga kita).
c) Makan dan minum ikut kemampuan. Makan apa sahaja yang disediakan oleh tuan rumah. Jangan membebankan tuan rumah.
d) Doakan tuan rumah
e) Jika sudah tiba waktu solat, usahakan ke masjid atau mohon keizinan solat berjamaah di rumah tuan rumah.
Moga tips mudah dan ringkas ini bermanfaat buat sahabat pengunjung blog sebagai persediaan menyambut Eid-Fitr.
3 comments:
Selamat Hari Raya kepada Dr Ridz & famili.
SELAMAT HARI RAYA KEPADA DR DAN KELUARGA.
salam,
selamat hr raya ,maaf zahir batin
Post a Comment