Followers- Jalinan Ukhuwah

Tuesday, September 8, 2009

Perjalanan Umrah Ramadan 2009 #1

Assalamualaikum semua pengunjung,

Catatan perjalanan umrah Ramadan agak lewat saya nukilkan akibat kesibukan tugas rasmi, tugas tidak rasmi dan pengisian Ramadan (nota: hanya alasan ini dapat saya beri..).

Perjalanan umrah kali ini mempunyai banyak kelainan. Pertama, kali ini saya mengambil pesawat Singapore Airlines. Setiap kali perjalanan umrah, saya akan mengambil pesawat yang berbeza supaya dapat meneliti perkhidmatan penerbangan berlainan, menambah pengalaman dan berpeluang ziarah ke negara orang secara percuma. Perkhidmatan Singapore Airlines sememangnya amat memuaskan. Bukan sahaja makanannya halal tetapi menyediakan ruang untuk penumpang menunaikan solat.

Kedua, inilah pertama kali saya menunaikan umrah berseorangan, tidak bawa isteri. Ianya mengundang emosi yang unik kerana setiap kali tawaf atau Saie isteri saya akan bersama saya, namun kali ini ianya tidak berlaku begitu. Ketiga, program umrah kali ini diuruskan sendiri dengan sokongan logistik minimum. Hanya menumpang di rumah keluarga Melayu-Arab ketika di Mekah. Ianya adalah suatu yang mencabar, namun pengalaman-pengalaman lalu sedikit sebanyak membantu.

Hari Pertama, tiba di Madinah sekitar jam 2 pagi. Saya tidak berlengah lagi. Terus bersiap untuk menemui tempat istimewa yang amat saya rindui – Raudah. Ketika rakan lain beristirehat/tidur, saya memanjangkan langkah ke Masjid Nabawi kerana bergerak secara sendirian di Raudah boleh mencairkan hati. Pak Majid (warga emas dari Baling, pertama kali ke Tanah Suci) terus melompat dari katil dan bertanya saya ”Anak nak pi masjid kah?” Saya menjawab ”Ya pakcik.” ”Pakcik nak ikut.” Tanpa saya pelawa, beliau segera bersiap.

Pagi hening itu, saya mampu membawa pakcik Majid solat sunat dan solat Subuh di Raudah. Ketenangan raudah tidak dapat diungkapkan dengan perkataan. Berada di sini lebih dari satu jam adalah hadiah khas dari Allah. Sempat juga saya muhasabah diri dan melihat kembali agenda hidup dan perjuangan. Sukarnya airmata untuk gugur, mungkin kerana kerasnya hati. Cuma bacaan imam solat Subuh mampu sedikit membantu diri yang doif ini.

Kelihatan ramai jamaah berpusu-pusu di Raudah

Selepas solat Subuh, saya membawa Pak Majid menziarahi makam Rasul s.a.w dan para sahabat.

Rindu akan Madinah dan Rasul s.a.w terubat juga akhirnya....

4 comments:

hazwanali said...

salam..
Dr ridzwan, seronok sungguh dapat merasa bulan ramadhan di Mekkah..mudah2an segala amal ibadat dan doa diterima Allah..ameen

rezeki said...

Salam ,
alhamdulillah, dapat baca pengalaman tuan kali ini. Cerita pergi haji dan umrah walau diulang 1000 kali pun tetap suatu cerita yang menarik untuk kita dengar dan baca. Itulah keistimewaannya.
Alhamdulillah

p/s : Mmg SIA perkhidmatannya baik .

One Malaysia said...

Salam...membaca post DR hr ini membuatkan saya menangis..rindu benar sy utk ke Tanah Suci lagi..susah nak ukirkan dengan kata2 kenapa Tanah Suci ingin sy datangi lagi...Semoga Allah akan menjemput kami lagi utk kesana

rosli said...

Salam Dr,

Tahniah sekali lagi kerana dapat menghadiahkan buku Haji Muda kepada DYMM Sultan Selangor, saya bangga sebagai rakan baik Dr dan dapat diraikan oleh rakan2 yang lain. Sebagai anak Selangor saya juga bangga dengan Dr. Saya jugak dah tak sabar nak baca buku baru Dr , Cinta Kaabah tu...hope dapat jadi orang pertama dapat naskah tersebut. Sebelum Raya ini nak jumpa Dr kat ofc. Amin.