Followers- Jalinan Ukhuwah

Friday, October 31, 2008

Tips Haji #7 Ubat

Sidang pembaca yang saya kasihi,

Alhamdulilah , Allah memberi saya ruang untuk meneruskan perjalanan hidup, justeru saya dapat meneruskan penulisan ikhlas di blog ini. Saya baru kembali dari bertugas di luar kawasan juga tanpa disedari notebook saya tertinggal di rumah, alasan yang boleh dihulurkan kenapa blog ini tidak dikemaskini.

Kesihatan adalah penting bagi memburu Haji Mabrur. Cabaran kesihatan di Tanah Suci perlu dilalui oleh setiap jamaah. Tiada seorang jamaahpun yang tidak akan diuji kesihatannya.
Ketika saya menunaikan Haji saya tidak membuat suntikan optional influenza. Sementara abang saya pula mengambil langkah ke hadapan dengan suntikan ini. Langkah abang saya satu langkah yang baik. Pemikiran rasional akan membenarkan perlakuan ini. Namun Allah tidak menguji saya dengan selsema tetapi Allah menguji abang saya dengan selsema ketika di Madinah. Dengan lain perkataan, bagaimana hebat persediaan kita Allah tetap menguji kita kerana Allah sayang kepada kita.

Jadi apa persediaan ubat yang perlu di bawa?

A) TIPS AWALAN
Buku Haji Muda mencadangkan supaya makanan tambahan dan vitamin dapat diamalkan sebelum jamaah melangkah ke Tanah Suci. Secara umum, vitamin C, B Kompleks / multivitamin dan kalsium sudah memadai. Untuk perjalanan darah yang baik dan fitness otak, ginko biloba boleh membantu. Amalan ini adalah pilihan pertama penulis.

Ketika di Madinah atau Mekah, usahakan memakan kurma ajwa dan minum air zam-zam.

B) TIPs UBAT
1. Bagi jamaah yang mempunyai penyakit, sila bawa ubat secukupnya mengikut nasihat doktor. Minta Dr nama-nama ubat untuk penyakit ini.
2. Bagi jamaah haji muda atau jammah yang tiada penyakit, anda tidak perlu risau untuk membawa ubat. Saya lebih cenderung jamaah mengamalkan vitamin secara berterusan dan meminum air banyak. Jika anda masih mahu membawa ubat, maka blog ini mencadangkan anda membawa ubat jenis paracetamol untuk melegakan sakit kepala dan sakit sendi dan juga ubat sakit tekak untuk dihisap. (sila rujuk doktor)
3. Klinik kesihatan Malaysia akan membantu jamaah sakit. Ubatan umum seperti ubat demam, sakit kepala, selsema dan batuk adalah ubatan asas yang disediakan.
4. Farmasi juga banyak sekitar Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Harga juga tidaklah mahal.

Bagi melalui proses Tawaf dan SAie, blog ini mencadangkan jamaah membeli dan menggunakan
1. Krim crack-heel (sebelum ihram dan selepas keluar dari ihram)
2. Krim atau losyen perlindungan kulit (sebelum ihram dan selepas keluar dari ihram)

(Sila rujuk ustaz supaya anda tidak melanggar pantang larang ihram).

Untuk perjalanan Hari Latihan Mahsyar dan kemuncak Haji, selain vitamin, ubat-ubat umum di atas, blog ini mencadangkan agar persediaan tambahan dilakukan. Ini termasuk:
1. Memakan banyak buah-buahan
2. Meminum air zam zam (mungkin sukar memperolehinya di Arafah dan Mina)
3. Membawa ubat atau noze treatment liquid kerana ramai jamaah yang alergi dengan habuk persekitaran, habuk karpet dsbnya (sila rujuk doktor).
4. Membawa insect repellent

Moga tips ini bermanfaat.

rehatku cuma di alam barzakh.....ridz

Monday, October 27, 2008

Tips Haji #6 Apa Yang Perlu Di bawa?

Pembaca bog budiman dan para tetamu Allah 2008,

Tentu sekali anda tidak sabar-sabar untuk berangkat menunaikan Haji. Rombongan KT 1 akan berlepas pada 30 Okt 2008 beberapa hari sahaja lagi.

Kepada jamaah yang pertama kali pergi, sudah tentu persiapan yang dibuat lebih rapi. Buku Haji Muda membicarakan perkara ini secara umum dan bagaimana persiapan fizikal ini mampu membantu jamaah dari sudut emosi. Di kesempatan ini , blog ini ingin menghulurkan tips berikut:
1. Beli bag beroda dan mempunyai tali/ pemegang supaya mudah ditarik.
2. Tidak perlu bawa barang banyak. Bawa sekadar keperluan sahaja
3. Sekiranya anda menunaikan Haji Tamatuk, beli ihram di Madinah (tidak perlu di bawa dari Malaysia).
4. Baju Melayu / baju kurung (2 pasang)
5. Jubah boleh di beli di Madinah kerana lebih murah dari di Malaysia
6. Buat tagging ke atas semua beg
7. Bawa Kamera/ Kamkoder
8. Beg Sandang TH (beg ini penting untuk menyimpan dokumen-dokumen penting dan vitamin/ubat)

9. Beg kecil TH (penting semasa transit di Jeddah). Isi beg ini dengan kain pelikat/telekong, berus dan ubat gigi, tuala kecil, sehelai tshirt, keperluan peribadi seperti seluar dalam, keperluan peribadi wanita, vitamin/ubat, pakaian sejuk.

10. Tidak perlu membawa makanan atau minuman seperti kopi, milo, magi, kicap, sos dsbnya. Hampir semua barang keperluan ini di jual di Mekah dan Madinah. Hatta minuman seperti kopi tongkat Ali dan Kacip Fatimah juga di jual di Bin-Dawwod hypermarket (Saya tidak berniat untuk mempromosi hypermarket ini tetapi untuk memudahkan jamaah mencarinya).

Blog ini ingin menekankan supaya jamaah bersiap untuk menghadapi suasana sejuk. Justeru, pakaian sejuk/blazer boleh terus di pakai ketika di KLIA atau dalam kapal terbang.

Selamat Berangkat.

rehatku cuma di alam barzakh...ridz

Sunday, October 26, 2008

Jumpa saya di SACC Mall Shah Alam

Sidang pembaca budiman,
Alhamdulilah saya telah dijemput untuk memberi ceramah dan preview buku Haji Muda sempena SACC Book Fair seperti berikut:

Tarikh: 26 Oktober 2008
Masa: 2.00 - 3.00 petang
Tempat: Ruang legar, tingkat 1 SACC Mall, Shah Alam
Buku: Haji Muda: Tip-tip Menjadi Tetamu Allah
Program: Bual bicara dan persembahan slaid mengenai ibadat haji

Jemput hadir memeriahkan program.

rehatku cuma di alam barzakh

Saturday, October 25, 2008

Kisah Haji: Kakak F

Pembaca blog meniti renjisan kedamaian yang dimuliakan,

Perjalanan Haji menuntut tahap kesabaran yang tinggi. Buku Haji Muda menyebut bahawa ujian Allah akan bermula sebaik-baik anda mendaftar untuk menunaikan Haji. Haji Muda juga menyentuh bahawa Perjalanan Haji menuntut kestabilan emosi. Tahap ujian juga berbeza antara seorang jamaah dengan yang lain.

Ketika menghadiri rumah terbuka petang tadi, satu cerita dikongsikan dengan saya. Kisah ini baru seminggu-dua berlaku, Kisah Kakak F yang amat menyentuh hati.

Kakak F telah berjaya melepasi ujian kesihatan dan sudah bersiap untuk ke Tanah Suci. Walaupun tanpa suami, urusan tiga anak gadis yang bakal ditinggalkan juga sudah diperhalusi. Semua urusan rasmi termasuk buku kesihatan, gelang TH , wang dan keperluan-keperluan lain juga sudah disediakan. Sudah tentu kakak F tidak sabar-sabar untuk menyahut seruan Labaikallahu malabaik....

Kakak F juga serius memantapkan rohani dengan meningkatkan amalan. Di takdirkan, ketika menunaikan sholat Subuh di Masjid bersama-sama anak-anaknya, rumah kakak F dipecah masuk oleh pengkhianat bangsa. Beberapa barang berharga termasuk barang kemas telah dicuri. Lebih mendukacitakan bila satu beg penting mengandungi buku kesihatan, gelang TH dan barang-barang keperluan Haji turut dilarikan.

Subhanallah, kehilangan ini amat perit bagi seseorang jamaah Haji. Kakak F terpaksa menjalani proses yang beliau sudahpun lulus. Mungkin sekadar gelang dan dokumen-dokumen Haji boleh diganti, namun tahap kesihatan tiada siapa boleh gerenti. Ya! Beliau terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan sekali lagi bagi mendapat pengesahan tahap kesihatan. Lebih sengsara, beliau telah dua kali gagal melepasi pemeriksaan darah tinggi. Saya yakin tekanan darah tinggi meningkat disebabkan faktor emosi bukan disebabkan beliau berada di tahap kesihatan yang kurang memuaskan.

Sidang pembaca,
Segelintir di kalangan kita mungkin berpendapat bahawa kisah begini adalah hukuman Allah. Saya melihat perkara sebegini dari perspektif positif bahawa Allah menguji kakak F kerana Allah menyayangi beliau. Allah tidak menghukum beliau namun saya yakin Allah sayang kepada hambanya. Bukan mudah untuk melepasi ujian hebat ini.

Dikesempatan ini saya memohon sidang pembaca budiman,
hulurkanlah doa ikhlas supaya Allah mempermudahkan kakak F untuk lulus ujian kesihatan dan emosi ini. Saya tidak mengenali beliau dan anda semua juga tidak mengenali beliau. Di Hari Mahsyar nanti kita juga saling tidak mengenali, namun secebis doa dan amalan murni akan meringankan bebanan kita. Hari ini kita doakan insan yang kesempitan, nescaya bila kita dalam kesulitan maka ramai insan lain akan mendoakan kita. Moga doa saudara/i pembaca budiman dapat membantu kakak F.

Ya Allah! Kau tabahkanlah hati kakak F dan Kau izinkanlah dia menjadi tetamuMu. Amin!

Rehatku Cuma di alam barzakh.....ridz

Friday, October 24, 2008

Ulasan Buku Dalam Utusan Msia

Sehari sebuah buku
Utusan Malaysia 24 Oktober 2008 / 24 Shawal 1429H

DIANGKAT daripada pengalaman sebenar penulis mengerjakan haji pada usia muda, buku ini bagaimanapun bukan catatan perjalanan yang biasa, sebaliknya penuh dengan pengajaran dan pendidikan yang berguna khususnya kepada generasi muda umat Islam.

Lari daripada kebiasaan amalan mengerjakan haji iaitu ketika usia melewati hari tua, buku ini tampil berbeza apabila banyak bercerita tentang kelebihan dan keuntungan menunaikan rukun Islam kelima itu dalam keadaan penuh bertenaga.

Dipersembahkan dalam bentuk penceritaan yang tidak membosankan, buku ini menyentuh hampir kesemua aspek dalam mengerjakan haji termasuk persediaan sebelum berangkat, ketika di Madinah, Mekah, Arafah dan Mina serta selepas selesai mengerjakan ibadah tersebut.
Menjadikan buku ini lebih bermakna apabila kandungannya turut memuatkan panduan kepada bakal haji meliputi aspek fizikal, kewangan dan rohani sekali gus layak dijadikan sebagai salah satu rujukan kepada bakal jemaah haji.

Judul: Haji Muda, Tip-Tip Menjadi Tetamu Allah
Penulis: Ridzwan Bakar
Penerbit: PTS Publications & Distributors

ISBN: 978-967-5137-25-9

– MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Thursday, October 23, 2008

Karnival Haji 2008 Satu Realiti


Setiap insan ingin memiliki kenangan hidup. Usaha dan pengorbanan perlu dilakukan. Tidak mudah untuk membuat kebaikan, kerana terlalu banyak mehnah dan cabaran.

Alhamdulilah Majlis Perasmian Karnival Haji 2008 dan pelancaran buku Haji Muda pada 22 Oktober 2008 telah berjalan dengan baik dan lancar.

Terima kasih kepada emak yang saya kasihi, Hajjah Som, kerana dengan doa dan kesabaran kesempitan hidup dapat beliau membesarkan saya untuk berbakti kepada masyarakat. Kepada arwah abah, terima kasih dengan ilmu dan ’semangat Haji arwah Abah’. Moga usaha kecil ini dapat menambahkan keceriaan dan menemani abah di alam barzakh.

Terima kasih kepada guru-guru dan profesor-profesor saya yang amat saya kasihi, khususnya Ustaz Shamsudin, ustaz Mohd Zakuan, Ustaz Nik Mohd Noh dan arwah ustaz Marzuki.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini khususnya kepada TYDP- Tn Hj Baharudin, Tn Syed Ibrahim, AJK Karnival Haji, AJK BAKIT & HELWA, Unit Hal Ehwal Islam TM- Ustaz Zul, Surau TM Ibupejabat, Unit Corporate Event-Raja Azlan, Alya & Azlin, Unit Corporate Communication- Saiful, Bhg Customer Service Mgmt, Unit Product Marketing-Azhani & Fara, Unit Urus Bangunan- Norazah dan semua yang terlibat menjayakannya.

Kepada tetamu khas Datuk Bazlan Pengarah Eksekutif TM, rakan-rakan korporat Senior GM Tabung Haji – Hj Salleh, Senior GM Bank Islam- Dato’ Wan, Pn CEO Noraini, Tn CEO Hj Sharif, tetamu undangan Prof Abdullah Hassan, Prof Kamil, Pn Hajjah Ainon dan Vice President Tn Ismail Nordin.

Juga ucapan yang tidak terhingga kepada abang saya Tn Hj Rosli, rakan-rakan saya Dr Tengku Asmadi, Prof Syed Omar, Rusdi, kak Fauziah, Khairullah dan Rezianna dengan kehadiran dan sokongan.

Kepada penulis-penulis hebat PTS yang menyokong usaha murni ini khususnya Tn Fadhil, Tn Shamsuddin, Cik Pn Norela, Cik Pn Ain Maisara, Amaar; warga PTS Islamika Tn Arief, Tn Faris, Tn Imran, Cik Firdaus, Roslan dan krew PTS. Terima kasih juga kepada krew media dan wartawan.

Akhir sekali terima kasih kepada semua jamaah Haji yang telah menghadiri program besar ini. Kami telah berusaha yang terbaik untuk semua jamaah. Kami gembira dapat berbakti kepada anda, bakal tetamu yang dimuliakan oleh Allah.

Doakanlah di Tanah Suci nanti bahawa misi menghidupkan semangat Haji Muda bukanlah satu angan-angan.

Moga Allah memberkati usaha ini. Ampunilah kami Ya Allah.


Rehatku Cuma di alam barzakh...ridz

Wednesday, October 22, 2008

Tips Haji #5 Hargailah Isterimu

Pembaca blog budiman,

Isteri adalah anugerah mulia yang diberikan oleh Allah kepada seorang lelaki. Tanpa wanita bergelar isteri, lelaki akan mengalami kepincangan hidup walaupun secara umum mereka (lelaki) suka bercakap besar dan tinggi ego. Buku Haji Muda turut menyentuh perkara ini secara umum. Juga blog ini ada membincangkan tajuk ”Allah memuliakan wanita” dalam 3 siri (sila rujuk arkib penulisan blog ini).

Buku-buku sirah Rasul s a w menyebut bagaimana lunaknya akhlaq Rasululah s a w ketika berkomunikasi dengan isteri. Kecintaan kepada isteri khususnya Saidatina Khadijah sentiasa disebut-sebut oleh Rasul s a w walaupun isteri pertama baginda telah lama meninggalkan beliau.

Tip kali ini menganjurkan para suami untuk menghargai dan menyayangi isteri. Tidak kira samada anda haji senior atau haji muda, kesabaran dan tolak ansur amat-amat diperlukan. Perjalanan Haji menuntut tahap kesabaran dan tolak-ansur yang tinggi. Namun sikap yang telah sebati dalam diri, menyebabkan ianya menjadi amalan harian yang sukar untuk diubah.

Pengalaman Haji dan umrah mengusik hati saya untuk berkongsi kemungkinan perlakuan tidak sihat ini diamalkan di tanah suci :

1. Memarahi isteri di hadapan jamaah lain
Kes sebegini banyak berlaku di Tanah Suci. Kadang-kadang kemarahan yang timbul disebabkan perkara yang amat kecil dan remeh. Nasihat blog ini- kawallah emosi dan kasihanilah isteri anda. Jika anda memarahi isteri anda dihadapan orang lain, ia juga bererti anda membuka kelemahan anda. Isteri adalah ‘cermin’ anda.


2. Membuka kelemahan isteri kepada jamaah lain
Bercerita kelemahan isteri dengan jamaah lain tidak akan memberi keuntungan kepada sesiapa. Mungkin anda tidak percaya cerita ini, tetapi ianya berlaku samada si suami sedar atau tidak. Nasihat blog ini- tukar cerita kepada cerita-cerita positif. Ceritakan kepada kawan-kawan kebaikan isteri kita (rahsiakanlah kelemahan isteri).

3. Buat endah tidak endah keperluan isteri
Isteri mengharapkan sokongan suami di Tanah Suci. Kesannya lebih terasa jika si isteri terpaksa meninggalkan anak-anak kecil bagi misi Haji Mabrur. Layanlah isteri sebaik mungkin. Nasihat blog ini- cintailah isterimu dan selamilah perasaannya. Bukan mudah seorang wanita bernama ibu meninggalkan anak-anak jauh darinya. Ambil berat kebajikan isteri kerana titian Haji Mabrur menuntut kedamaian hati dan fikiran.

4. Melarang isteri beribadat
Perkara ini ada berlaku tetapi kebarangkaliannya kecil. Cuba gambarkan situasi ini.
**Si isteri dilarang sholat di Masjidil Haram kerana si suami tidak mahu sholat di tempat mulia ini. Akibat ego melampau, si suami memberi kata-dua iaitu “jika kamu pergi juga sholat di Masjid tanpa kebenaran saya, maka jatuhlah talak.” ** Astaghfirullah! Apalah punya suami, ego tidak kena tempat! Sudahlah si suami tidak mahu melipat gandakan amalan , si isteri pula dilarang untuk memajukan diri. Kalau nak sholat di dalam bilik, tidak perlulah susah-susah datang ke Mekah. Nasihat blog ini- Percayalah kepada isteri anda dan bantulah amalan isteri anda. Jika anda (si suami) uzur (sakit) dan tidak mampu untuk ke Masjid, maka amanahkanlah kawan-kawan isteri yang tinggal sebilik untuk menemani isteri ke Masjid. Tidak perlulah menambahkan tekanan emosi ke atas isteri anda.

Akhir madah, wujudkan keceriaan bersama. Layanlah isteri seolah-olah anda dalam tempoh honeymoon dan Kasihanilah isteri kerana mereka juga mahu mengejar Haji mabrur.

InsyaAllah, bersambung tips Haji #6 di tulisan akan datang ...


rehatku cuma di alam barzakh - ridz

Tuesday, October 21, 2008

Teks Perasmian Karnival Haji 2008

Sahabat pengunjung setia blog ini dan bakal jamaah Haji 2008,

Sekarang ini, saya sedang menyiapkan teks ucapan aluan perasmian karnival Haji dan pelancaran Buku Haji Muda esok pagi jam 9. Sudah lama tidak berucap di pentas umum. Intipati teks saya (extracted from main text).

Haji adalah perjalanan ruhiah, perjalanan keinsafan dan perjalanan aqal fikiran.

Firman Allah yang maksudnya

"Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi org yg beraqal. Iaitu org2 yg mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata „Ya Tuhan kami, tidaklah engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau Ya Allah, maka perharalah kami dari siksa neraka.“

Jamaah Haji 2008 perlu membuka empangan diri supaya limpahan air kedamaian akan menghuni hati yang gersang. Anda beruntung menjadi Tetamu Allah tahun ini, sedangkan kami tegak berdiri di kejauhan Mekah dan Madinah.

Saya merindui Mekah dan Madinah....

Monday, October 20, 2008

Tip Haji #4 "Terima Kasih"

Bakal Tetamu Allah dan pembaca blog yang budiman,

“Terima kasih”. Ungkapan mudah tetapi nampak agak sukar melaksanakannya.

Buku Haji Muda menyarankan jamaah Malaysia untuk menyebut perkataan ini secara konsisten dan ikhlas. Ucapan “terima kasih” sudah menjadi budaya kita. Kita juga mengajar ucapan ini kepada anak-anak kita.

Semasa menunaikan Haji beberapa tahun lalu, ada segelintir jamaah mempersoalkan tindakan saya mengucapan terima kasih kepada pegawai bertugas TH. Bagi mereka, beribu ringgit sudah dilaburkan kepada TH untuk melaksanakan ibadah Haji. Jadi untuk apa mengucapkan terima kasih kepada TH? Subhanallah, kenapalah kedekut sangat hendak ucapkan ”terima kasih”? Pahala free, kenapa dibiarkan?

Cuba anda fikirkan. Setiap hari atau hampir setiap hari anda ke tempat kerja atau berurusan, anda akan melalui booth TOL Plaza (satu lokasi yang tidak membawa faedah kepada rakyat Malaysia). Bila anda menghulurkan duit, kebanyakkan pemungut TOL ini tidak ada inisiatif untuk senyum, jauh sekali mengucapkan “terima kasih”. Mengapa ya perkara ini berlaku? Saya pernah menegur kawan saya (Pengurus Kanan syarikat yang mengendalikan pungutan TOL ini) kira kira dua tahun lalu, namun saya tidak nampak apa-apa perubahan. Pemungut TOL ini juga anak-anak muda kita, ‘human capital’ bernilai tinggi yang tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya.

Justeru, apa kaitan pemungut TOL ini dengan Haji?

Ucapan terima kasih adalah ungkapan yang mudah, tidak perlu kita memikul seberat 10kg beras. Namun, saya kurang pasti betapa sukarnya kita mengucapkan ”terima kasih” khususnya anak-anak muda pemungut TOL dan para jamaah Haji . Jika kita ke negara-negara Barat, ucapan ini amat mudah dilafazkan disulami senyuman ikhlas.

Kepada bakal Tetamu Allah dan pembaca blog ini,
Tip kali ini menjemput anda untuk berlatih mengucapkan terima kasih kepada Pencipta kita, TH dan kepada semua termasuk kepada pokok dan alam. Ucapan terima kasih yang lahir dari hati yang ikhlas akan membuahkan persahabatan yang berterusan. Saya yakin, ungkapan ”terima kasih” akan memberi kedamaian hati dan fikiran yang mampu membawa jamaah Haji khususnya di dalam meniti renjisan Haji Mabrur.

Saya nasihatkan bakal jamaah, berusahalah sekeras mungkin untuk tidak menempelak dan marah-marah dengan petugas Haji ketika di Tanah Suci nanti. Mereka juga manusia yang tidak boleh lari dari kelemahan. Bantulah mereka dan ucapkanlah ”Terima Kasih”.

InsyaAllah, bersambung tips Haji #5 di tulisan akan datang ...


rehatku cuma di alam barzakh - ridz

Sunday, October 19, 2008

Tips Haji #3


Bakal Tetamu Allah dan pembaca blog yang budiman,

Jamaah Haji Malaysia di saat ini sedang berhimpun di lokasi-lokasi strategik terpilih seluruh tanahair untuk menjalani proses terakhir kursus Haji. Program Haji Perdana ini menyelitkan beberapa siri kuliah dan amali Haji bagi memberi gambaran dan latihan kepada bakal jamaah yang akan memulakan perjalanan Haji mabrur mereka pada 1 Zulkaedah nanti. Saya yakin ada juga jamaah yang enggan hadir, curi tulang dan ponteng. Antara alasan yang sempat saya kutip ialah “Ramai orang lah”, “Tidak selesa sebab bersesak nanti”, “Susah nak parking kereta” dll untuk membenarkan justifikasi. Tiada siapa memaksa bakal jamaah untuk hadir.

Jamaah yang berada di dalam 3 ketegori di atas termasuk dalam golongan insan yang rugi. Walaupun anda sudah mantap ilmu dan berguru dengan ustaz-ustaz yang hebat-hebat, namun yang akan melaksanakan Haji adalah diri anda! Haji adalah perjalanan pembersihan diri anda, roh anda dan bukannya diri dan roh ustaz-ustaz anda.

Cuba anda fikirkan mengapa ibadat Haji Allah wajibkan selepas bulan Ramadhan?

Di bulan Ramadhan kita berusaha keras meningkatkan amalan sunat dan bacaan Qur’an. Secara umum, fitness ruhiah kita juga meningkat. Maka Haji adalah langkah seterusnya bagi mengecapi kemuncak fitness ruhiah (perkara ini saya tekankan di dalam siri Tip Haji #2).

Kembali kepada Haji Perdana. Bagi 3 kategori jamaah di atas, anda rugi tidak menghadiri program Haji Perdana atas faktor yang saya susun seperti berikut:
1. Jamaah akan diingatkan kaitan taubat dan Haji
2 Jamaah akan diberi peluang bangun malam untuk latihan qiyamulail
3 Jamaah akan diberi taklimat terkini pengurusan Haji oleh TH
4 Jamaah akan diajar amali Tawaf dan Saie

5 Jamaah akan menjalani ”latihan kesabaran Haji”. Maksud saya, jamaah akan berlatih dengan sendirinya untuk ”berebut” bilik air, mencari tempat letak kasut, mencari suami/isteri yang ”hilang” dan bersesak. Latihan ini amat bermanfaat. Contohnya: di Masjid Negeri Shah Alam terdapat rak kasut bernombor. Ini mampu melatih anda untuk meletakkan kasut di lokasi yang anda pilih dan mengingati nombor rak. Jika di Masjid Shah Alam anda boleh ”kehilangan kasut” apatah lagi di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram nanti.
Cuba juga gambarkan, anda perlu ”berebut” bilik air di Arafah dan Mina. Ia memerlukan latihan dan kesabaran.

Kepada bukan jamaah Haji, anda boleh juga hadir ke Program Perdana Haji ini untuk mengambil manfaat dan menambahkan ilmu. Anda akan dilatih untuk ”bersabar” di program ini.

Rehatku cuma di alam barzakh - ridz

Friday, October 17, 2008

Karnival Haji 2008- Projek Blue Ocean

Assalamualaikum Warahmatullah & Salam Sejahtera,

YBhg. Dato’/Datuk/Datin/Tuan/Puan / Muslimin dan Muslimat yang dihormati,

Alhamdulilah, dengan keizinan dan kasih sayang Allah projek besar ke 3 saya tahun 2008 (projek yang sudah lama tersimpan dalam khazanah hati saya) iaitu Karnival Haji akan berlangsung minggu depan 20-24 Oktober 2008. Program ini adalah program rasmi kerjasama Badan Kebajikan Islam (BAKIT TM), Unit Hal Ehwal Agama TM dan Surau TM Ibupejabat.

Projek ‘blue ocean’ ini bertujuan untuk :
i. Memberi kesedaran kepentingan Haji dan Umrah di dalam membina masyarakat
ii. Membuka minda dan ‘menyeru’ hati-hati insan untuk melaksanakan Haji dan umrah pada usia seawal mungkin
iii. Meraikan jamaah haji khususnya jamaah haji warga TM
iv. Mendedahkan peranan organisasi-organisasi Islam di dalam pengurusan Haji khususnya peranan besar Tabung Haji Malaysia (InsyaAllah kaunter TH turut dijemput)
v. Meningkatkan ekonomi peniaga kecil muslim dengan jualan khususnya produk berkaitan Haji & Umrah.

Justeru jika anda berkelapangan, anda dijemput untuk mengambil manfaat karnival ini. Di kesempatan itu, buku HAJI MUDA akan turut dilancarkan pada hari perasmian. Majlis Perasmiannya adalah seperti berikut :-
Tarikh : 22 Oktober 2008 / 22 Syawal 1429H ( Rabu )
Masa : 8:30 pagi – 2:00 petang
Tempat: Dewan Serbaguna, Menara TM, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur

Program:
8.30pagi-10.30pagi – Perasmian
11.00pagi-12.30tgh- Ceramah Perdana Travelog Haji oleh Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim.
12.30-12.50tgh- Taklimat Produk iTalk Tips Dunia Tanpa Sempadan (Salah satu bab dalam buku Haji Muda)

Sepanjang minggu karnival, sesi kuliah berkaitan Haji akan berlangsung ketika waktu rehat tengahari. Moga program ini mendapat rahmah dan redho Allah.

Terlalu banyak rintangan yang saya lalui untuk memastikan visi ’blue ocean’ ini menjadi realiti.

Dengan rendah diri, saya memohon keampunan Allah.


Rehatku Cuma di alam barzakh....Ridz

Thursday, October 16, 2008

Tips Haji Siri #2

Saudara/i pembaca dan bakal Tetamu Allah,

Kelmarin, guru saya menghubungi saya. “Ridzwan, bila hendak berkongsi persediaan ruhiah untuk jamaah haji? Perlu segera menulis dalam blog sekarang kerana jamaah akan berangkat 2 minggu lagi”.

Maha Suci Allah, saya memohon keampunan Nya. Saya amat lalai.

Dua orang guru saya iaitu al-fadhil ustaz Hj Samsudin Sidek (Ahli Panel Muzakarah Haji Msia) dan al-fadhil ustaz Zakuan Tak adalah dua insan yang memberi sumbangan besar kelahiran buku Haji Muda. Saya berdoa moga Allah memanjangkan usia kedua-dua guru saya ini kerana ilmu dan pengalaman mereka amat bermakna buat jamaah haji dan umrah Malaysia.

Saya rasa terpanggil untuk meneruskan tip Haji #2 untuk jamaah yang bakal berangkat tidak lama lagi. Sebahagian dari tip-tip Haji telah saya kongsikan di dalam buku Haji Muda. Di kesempatan ini, saya ingin melanjutkan nasihat guru saya untuk segera berkongsi agar jamaah Haji Malaysia benar-benar bersedia meniti renjisan Haji mabrur.

Saudara/i pembaca,
Allah sayang kepada kita, maka Allah memberi kita rezeki untuk meneruskan kehidupan ini. Ibn Taimiyah pernah menyebut ”Aku malu dengan Allah bila menikmati rezekinya, sedangkan aku amat lalai untuk bertemu dengannya di dua pertiga malam”. Subhanallah, Maha Suci Allah yang telah menjanjikan ketenangan dengan butiran kristal ruhiah yang kita sering lalai dari mengejarnya. Pelbagai alasan diberi. Penat, perlu rehat, esok hari bekerja dan pelbagai alasan untuk mengesahkan justifikasi nafsu diri. Saya termasuk dalam golongan ini, astaghfirullah.

Ketika saya menunaikan Haji, kemampuan fitness ruhiah tidak saya usahakan bersungguh-sungguh ketika di tanahair. Alasan di atas mengiyakan kehendak diri. Dengan lain perkataan, nafsu amat dominan dalam diri . Bagi saya solat malam boleh dilakukan bila tiba di Tanah Suci nanti. Saya silap, kerana saya jahil dan tiada insan yang bersungguh-sungguh memaksa saya melakukan solat malam sebelum berangkat.

Subhanallah, Maha Suci Allah. Bakal jamaah disarankan meneliti diri sendiri dan berusaha keras untuk melaksanakan solat malam sebagai latihan untuk memperolehi ganjaran amat besar di Mekah dan Madinah. Justeru, dikesempatan ini, blog ini menjemput pembaca dan bakal jamaah untuk mempertimbangkan tip-tip berikut:

1. Berusaha keras untuk bangun malam setiap malam jam 4.30 atau 5 pagi

Bakal Jamaah disarankan untuk melatih diri untuk bangun tengah malam khususnya sejam sebelum Subuh. Latihan ini bertujuan supaya jamaah benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran di Mekah dan Madinah. Ketika di Tanah Suci nanti, anda terpaksa bangun lebih awal daripada waktu yang penulis sarankan atas beberapa sebab antaranya:
a) Anda akan berebut untuk memasuki bilik air untuk membersihkan diri sebelum ke Masjid (bagi jamaah yang berkongsi bilik air).
b) Anda seharusnya berlumba-lumba untuk mendapat tempat yang terbaik ketika di dalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.
c) Anda terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk tiba ke Masjid (khususnya di Mekah- sila rujuk perjalanan umrah 2008 dalam kategori Haji/Umrah dalam blog ini).
d) Cuaca sejuk di Mekah & Madinah (Waktu musim haji 2008/1429H adalah musim sejuk). Suasana sejuk di pagi hari di Malaysia mampu memberi anda sedikit latihan suasana dingin di Saudi nanti.

Bagaimana hendak bangun di waktu ini?

a) Usaha dapatkan dan amalkan beberapa zikir dan doa untuk bangun tengah malam (sila rujuk ustaz / ustazah)
b) Niat dalam diri untuk bangun tengah malam
c) Sediakan jam loceng lebih dari satu. Satu jam setkan waktu 4.30pagi dan satu lagi 5 pagi. Set waktu yang berbeza dan letakkan jauh dari kepala anda. Ini akan menjemput anda untuk bangun mencari jam loceng tersebut bila berbunyi. Mungkin anda akan ‘off alarm’ set jam pertama. Jika ini berlaku, satu lagi jam loceng menanti anda jam 5 pagi. Kalau itupun anda ‘off alarm’ dan meneruskan tidur anda, maksudnya anda belum benar-benar bersedia untuk melatih diri anda. Cabaran di Tanah Suci lebih besar dari ini. Ia menuntut pengorbanan.



2. Belajar solat-solat sunat

Bakal tetamu Allah sudah sepatutnya melengkapkan diri dengan kefahaman cara-cara menunaikan solat-solat sunat. Ramai jamaah yang tidak bersedia dengan ilmu dan kefahaman untuk melaksanakan solat-solat sunat. Pernah seorang insan bertanya saya di Masjid Nabawi, ‘Datang awal ke Masjid Nabawi nak buat apa? Nak solat apa? Allahu akbar. Ruginya insan ini. Anda akan rasa rugi bila anda gagal memanfaatkan 40 hari di Tanah Suci. Rugi yang teramat sangat!

Jadi, jangan malu untuk belajar. Jangan malu untuk bertanya. Usahakan sekarang. Biarlah orang sekeliling ketawakan anda, sebab mereka tidak mendapat apa-apa faedahpun jika ketawakan atau memperli anda. Anda mahu melakukan yang terbaik, di bumi yang terbaik , berhampiran insan yang terbaik Rasululah saw dan di tempat semulia-mulia. Perlu ingat, anda adalah insan terbaik tahun ini sebab anda adalah Tetamu Allah! Justeru, mesti usaha sekarang.

Hidayah dan as-sakinah tidak datang secara subsidi...mesti ada usaha, perancangan dan kesungguhan.

Rehatku Cuma di alam barzakh –
Ridz

InsyaAllah bersambung Siri Tip-Tip Haji #3 ….

Monday, October 13, 2008

Buku Haji Muda: Maklumbalas Pembaca #1

Alhamdulilah, selepas hampir tiga minggu buku Haji Muda keluar dari stor Penerbit dan semakin ramai memilikinya, saya kini menerima berbagai maklumbalas positif. Terima kasih kepada rakan-rakan, bloggers dan insan-insan yang saya tidak kenali yang telah menelefon, menghantar email dan memberi book review di dalam blog mereka.

Di bawah ini saya kongsikan beberapa nukilan dan maklumbalas pembaca yang telah mentelaah buku Haji Muda sehingga ada yang terpaksa tangguhkan buat kuih raya semata-mata ingin menghabiskan perjalanan virtual haji melalui buku Haji Muda.


“Sdr Ridzwan, anda seharusnya menulis buku ini 10 tahun dahulu!” Tahniah! Puan Z

“Berlinang air mata membaca buku ini. Mengingatkan dosa-dosa yang macam luas lautan..memikirkan adakah ibadah-ibadahku selama ini diterima yg Esa atau tidak. Disebalik kesibukan dengan ibadah dan membuat kuih raya, 2 malam berturut saya tekat menghabiskan buku ini. Hasilnya, 2 bakul baju yang siap berbasuh masih belum dilipat. Takpe..mlm ni lepas tarawikh marathon lipat baju :p” Farrah KL

Saya Berjaya habis baca buku Haji Muda jam 1.30 pagi 11 Okt 2008. Very interesting & Very inspiring and practical”. Azhar O

“Buku ni menjadi salah satu pemangkin dalam memperbaiki diri.....Belum habis baca lagi tetapi, setelah 4 helaian, hati terus tertarik untuk menghabiskan bacaan. Bukunye tidak tebal. Hanya ada 180 muka surat sahaja. Kalo dulu saya tertarik dengan Travelog Haji, kini buku ini menambahkan lagi semangat untuk satu cita-cita suci, Insya-Allah. Haji Muda tulisan Haji Ridzwan Bakar adalah suatu lagi bahan bacaan yang sesuai dalam kita cuba menjadi hamba Allah yang sejati..insya-Allah.” Ct KL

”Perjalanan tulisan Haji Muda mampu membawa emosi saya sebelum berangkat, ketika di Madinah dan di Mekah yang membuatkan saya merasa seolah-olah sayalah yang sedang melakukan ibadat Haji. " Puan N

“Saya berebut dengan isteri untuk menghabiskan buku ini. Very informative and interesting book”. Shah

“Tn Hj Ridzwan, setelah membaca buku Tn Hj dalam tempoh dua hari, semalam juga saya dan isteri terus pergi pejabat Tabung Haji untuk membuat pendaftaran Haji. Haji Muda memberi saya keinsafan. Terima kasih buku Haji Muda”. Abang Zul

“Kalau saya tahu betapa manis dan seronoknya menunaikan Haji, sudah lama saya mendaftar untuk ke Mekah”. Abang Osman

“Wan, Tahniah! Poksu bangga mendapat anak murid cemerlang seperti Wan”
Poksu Shahbudin PERASA, Sifu Psikologi & Kaunseling

“En Ridzwan, terima kasih dengan perkongsian yang amat bermakna ini”.
Cik S, Sabah

”Saya tertarik dengan tarbiah yang tuan perolehi untuk bab Malaikat Subuh: Gula-gula Murah” Profesor Dr Faridah

“Kalau kau baca buku ini, kau dah sampai Mekah, aku serius ni…” Embong, Temerloh

”Saya seolah-olah sudah melengkapkan Haji melalui perjalanan virtual bila membaca buku Haji Muda”. Arif

"Airmata saya berguguran bila membaca buku Haji Muda. Bab Wukuf dan Arafah membuka pintu keinsafan buat diri saya". Pn Yus

"Saya kagum. Dalam kesibukan jadual tugas dan arahan kerja untuk anak buah dibuat melalui alam maya, bos kita ini mampu siapkan sebuah buku yang tinggi nilainya. Tahniah En Ridzwan!" Cik M

Harapan saya moga buku Haji Muda benar-benar bermanfaat kepada ummah.


rehatku cuma di alam barzakh - ridzwan.

Today is what you have

When you wake up in the morning, do not expect to see the evening live as though today is all that you have. Yesterday has passed with its good and evil, while tomorrow has not yet arrived. Your life's span is but one day, as if you were born in it and will die at the end of it. With this attitude, you will not be caught between an obsession over the past, with all its anxieties, and the hopes of the future, with all its uncertainty. Live for today: During this day you should pray with a wakeful heart, recite the Qur'an with understanding, and remember Allah with sincerity. In this day you should be balanced in your affairs, satisfied with your allotted portion, concerned with your appearance and health.

Organize the hours of this day, so that you make years out of minutes and months out of seconds. Seek forgiveness from your Lord, remember Him, prepare for the final parting from this world, and live today happily and at peace. Be content with your sustenance, your wife, your children, your work, your house and your station in life.

So hold that which I have given you and be of the grateful. (Qur'an 7: 144)

You must engrave onto your heart one phrase: Today is my only day.

If you have eaten warm, fresh bread today, then what do yesterday's dry, rotten bread and tomorrow's anticipated bread matter? If you are truthful with yourself and have a firm, solid resolve, you will undoubtedly convince yourself of the following:

Today is my last day to live. When you achieve this attitude, you will profit from every moment of your day, by developing your personality, expanding your abilities, and purifying your deeds.

Then you say to yourself:
Today I shall be refined in my speech and will utter neither evil speech nor obscenity. Also, I shall not backbite.

Today I shall organize my house and my office. They will not be disorderly and chaotic, but organized and neat.

Today I will be particular about my bodily cleanliness and appearance. I will be meticulous in my neatness and balanced in my walk, talk, and actions.

Today I will strive to be obedient to my Lord, pray in the best manner possible, do more voluntary acts of righteousness, recite the Qur'an, and read beneficial books. I will plant goodness into my heart and extract from it the roots of evil such as pride, jealousy, and hypocrisy.

Today I will try to help others to visit the sick, to attend afuneral, to guide the one who is lost, and to feed the hungry. I will stand side by side with the oppressed and the weak. I will pay respect to the scholar, be merciful to the young, and reverent to the old.


O' past that has departed and is gone, I will not cry over you. You will not see me remembering you, not even for a moment, because you have traveled away from me never to return.
O' future, you are in the realm of the unseen, so I will not be obsessed by your dreams. I will not be preoccupied about what is to come because tomorrow is nothing and has not yet been created.


`Today is my only day' is one of the most important statements in the dictionary of happiness, for those who desire to live life in its fullest splendor and brilliance.


Work hard!

Petikan dari La Tahzan.

Rehatku cuma di alam barzah.

ridzwan

Thursday, October 9, 2008

Tips Haji Siri #1

Assalamualaikum
InsyaAllah bermula hari ini saya akan mula menulis tip-tip kepada bakal tetamu Allah yang akan berangkat ke Tanah Suci.

Mengikut maklumat TH, penerbangan awal jamaah Haji Malaysia akan bermula pada 30hb Oktober 2008. Jika anda bakal jamaah Haji, perkara berikut perlu dilakukan:
1. Semak penerbangan KT anda dengan menelefon TH Customerline (kepada anak-anak, bantulah ayah ibu anda untuk menyemak perkara ini). Surat rasmi mungkin mengambil sedikit masa.
2. Jika anda pergi secara berkumpulan, pastikan 'jamaah anda' tidak berpecah dan mengikut KT yang sama.

Bila kedua-dua langkah telah dilakukan dan tarikh penerbangan dan no KT telah diketahui, maka tips berikut amat bererti:
1. Anda perlu relaks dan bertenang
Seringkali saya dapati bakal jamaah akan mula rasa cemas. Degupan nadi mula pantas samada terlalu banyak perkara yang hendak dibereskan atau risau akan perjalanan Haji nanti.

2. Buat kenduri awal
Walaupun tiada nas kukuh membuat kenduri Haji, budaya ini seharusnya diteruskan. Justeru saya mencadangkan bakal tetamu Allah untuk membuat kenduri awal. Jangan buat 'last-minute' kerana proses ini akan meletihkan fikiran dan tenaga. Ambil kesempatan Shawal untuk membuat rumah terbuka dan buat kenduri sekali. Ianya akan menjimatkan wang dan tenaga.

3. Maklumkan seberapa ramai insan
Ada dikalangan masyarakat kita yang mahu pergi Haji secara senyap-senyap. Bagi saya, kita perlu mencari seberapa banyak pahala dengan memaklumkan saudara mara dan rakan-rakan. Di sini ukhuwah akan dipupuk, kita akan mengikhlaskan hati untuk memaafkan orang lain dan kita juga turut bermaafan. Bila kita mampu memaafkan orang lain, renjisan kedamaian akan menyusul buat kita.

Begitu juga, bila rakan dan saudara mara mengetahui kita akan ke Tanah Suci, mereka akan berusaha menziarahi kita. Juga ada diantara mereka yang akan meminta tolong didoakan di depan Kaabah. Ya inilah peluang buat pahala free dengan mendoakan mereka supaya Allah melapangkan rezeki buat mereka agar mereka sendiri hadir ke Mekah dan berdoa sendiri di depan Kaabah. Anda perlu memaklumkan mereka agar menulis hajat mereka di dalam kertas dan masukkan ke dalam sampul surat (maksudnya tidak perlulah anda sibuk hendak baca hasrat orang, cuma bantu dia menyampaikan hajat mereka). Buka sampul surat di mekah nanti.

4. cuti seminggu sebelum tarikh penerbangan
Tinggalkan semua urusan pejabat, bebaskan fikiran seminggu lebih awal. Amalan Ramadhan memerlukan satu booster bagi konsistensi amalan bila tiba di Madinah/Mekah nanti.

InsyaAllah bersambung siri #2

Thursday, October 2, 2008

RM3 dan Titian Sirat

Apa yang anda boleh beli dengan nilai RM3?

Soalan yang mudah untuk dijawab. Parking kereta di pusat membeli belah sahaja mungkin melebihi RM3, nasi lemak RM3 sekadar nasi lemak biasa, kos “Tolong Orang Lumayan” (TOL) untuk ke pejabat melebihi nilai RM3 sehari . Ya , inilah nilai RM3!

Dua hari lepas, saya menerima email dari seorang insan yang saya tidak kenali bernama Pn Sham seksyen 9 Shah Alam. Teks ringkas beliau “Tuan, minta tolong hantarkan 3 naskah buku Haji Muda kalau boleh sebelum Raya” dan ditinggalkan no hp 012-xxxxxxx.

Saya terus menghubungi beliau dan meminta alamat rumah untuk penghantaran. Selepas sholat Asar, saya menghantar buku Haji Muda ke alamat tersebut dan beliau serta anak menunggu kehadiran saya. “Saya beri RM60, kalau ada lebih sedekahkan kat Masjid”, nada beliau serius dan ikhlas. Mungkin beliau sibuk membuat persiapan Raya, jadi fikiran tidak fokus. Cuma saya terpaksa fokus ketika itu dengan arahan memberi baki RM3 ke mana-mana Masjid. Bukan apa walaupun nilainya kecil RM3 tapi amanah ini besar, takut-takut saya terlupa. Alhamdulilah, kelmarin saya telah menyampaikan amanah beliau di sebuah Masjid. Moga pahala dan ganjaran diberikan oleh Allah kepada beliau dan keluarga.

Ya, berapa sebenarnya nilai RM3? Mengikut perhitungan saya dan mungkin sdr/i , nilai RM3 seolah-olah tiada nilai. Ketika Hari Raya Aidilfitri tahun 70an, RM3 hanya boleh diperolehi bila saya menjelajah kampong, itupun kalau rasa tak malu! Ketika itu purata duit raya sekadar 20 sen sebuah rumah. Kini, duit raya RM3 boleh dikatakan kecil.

Jadi adakah RM3 ada nilai?

Cuba bina mental picture 1 berikut:
‘Tuan/Puan, Perjalanan meniti titian siratul mustaqim adalah selama 1500 tahun. 500 tahun pertama kita akan mendaki, 500 tahun kedua kita berjalan berasak secara mendatar dan selebih 500 tahun kita akan meneruni bukit titian sirat”, begitulah ucapan ceramah Ustaz Zahzan Mohamad ketika dijemput berceramah di Menara TM 22 Ramadhan lalu.

Walaupun saya belum pernah dengar cerita ini, saya menyakini penerangan ustaz. Saya teringat zaman kanak-kanak dulu arwah nenek selalu sebut bahawa titian sirat ini amat halus bagai rambut yang dibelah tujuh!

Cuba bina mental picture ke 2:
Kita sedang mengayuh basikal menaiki bukit, sudah tentu lengoh kaki. Apa kata kalau kita berkayuh selama 500 tahun mendaki bukit. Allahu Akbar! Siapa agaknya yang boleh menolong kita waktu itu?

Ya RM3 sebenarnya ada nilai! Tiada siapa yang mampu membantu kita di perjalanan titian sirat kecuali jika sebahagian amalan bersedekah kita amalkan dengan ikhlas. Jika kita benar-benar ikhlas memberi RM3 di jalan Allah, sudah tentu rahmah dan kasih sayang Allah akan menemani kita. Walaupun amaunnya kecil tapi impaknya besar. Mungkin RM1 Allah akan meringankan kita ketika mendaki titian sirat, RM1 lagi untuk keringanan berjalan di fasa mendatar dan baki RM1 lagi dimudahkan perjalanan meneruni bukit titian sirat. Allahu Akbar!

Moga kita perbanyakkan sadaqah mengikut kemampuan. Tahniah juga kepada Pn Sham bukan sekadar mendapat buku Haji Muda tetapi bakal menerima ganjaran dari Allah di Yaumul Mahsyar nanti. Amin.

Wednesday, October 1, 2008

Eid Mubarak

Assalamualaikum & Salam sejahtera,
Di kesempatan ini saya dan isteri saya, Noraisah idris, serta anak-anak saya Wardah Sakinah, Afif Afnan, Wardah Syaurah, Wardah Sofiya dan Afif AufaAdha ingin merakamkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Doa kami moga kita memperolehi kejayaan Ramadhan dan dipertingkatkan iman. Jua harapan agar usaha berterusan dapat dilakukan bagi menghidupkan spirit Ramadhan dalam kehidupan harian.

Allah memberi kita Eid Mubarak bagi mengembalikan fitrah insaniah dan memupuk budaya maaf bermaafan. Ziarahilah saudara mara kita yang telah lanjut usia dan bersedekahlah mengikut kemampuan.

Hadiahkan senaskah buku "Haji Muda" sebagai cenderahati Shawal kepada sanak-saudara dan sahabat handai. Moga limpahan rezeki dan pahala akan menyusul buat anda.


Eid Mubarak Minal Aidin Walfaizin.