Followers- Jalinan Ukhuwah

Wednesday, October 22, 2008

Tips Haji #5 Hargailah Isterimu

Pembaca blog budiman,

Isteri adalah anugerah mulia yang diberikan oleh Allah kepada seorang lelaki. Tanpa wanita bergelar isteri, lelaki akan mengalami kepincangan hidup walaupun secara umum mereka (lelaki) suka bercakap besar dan tinggi ego. Buku Haji Muda turut menyentuh perkara ini secara umum. Juga blog ini ada membincangkan tajuk ”Allah memuliakan wanita” dalam 3 siri (sila rujuk arkib penulisan blog ini).

Buku-buku sirah Rasul s a w menyebut bagaimana lunaknya akhlaq Rasululah s a w ketika berkomunikasi dengan isteri. Kecintaan kepada isteri khususnya Saidatina Khadijah sentiasa disebut-sebut oleh Rasul s a w walaupun isteri pertama baginda telah lama meninggalkan beliau.

Tip kali ini menganjurkan para suami untuk menghargai dan menyayangi isteri. Tidak kira samada anda haji senior atau haji muda, kesabaran dan tolak ansur amat-amat diperlukan. Perjalanan Haji menuntut tahap kesabaran dan tolak-ansur yang tinggi. Namun sikap yang telah sebati dalam diri, menyebabkan ianya menjadi amalan harian yang sukar untuk diubah.

Pengalaman Haji dan umrah mengusik hati saya untuk berkongsi kemungkinan perlakuan tidak sihat ini diamalkan di tanah suci :

1. Memarahi isteri di hadapan jamaah lain
Kes sebegini banyak berlaku di Tanah Suci. Kadang-kadang kemarahan yang timbul disebabkan perkara yang amat kecil dan remeh. Nasihat blog ini- kawallah emosi dan kasihanilah isteri anda. Jika anda memarahi isteri anda dihadapan orang lain, ia juga bererti anda membuka kelemahan anda. Isteri adalah ‘cermin’ anda.


2. Membuka kelemahan isteri kepada jamaah lain
Bercerita kelemahan isteri dengan jamaah lain tidak akan memberi keuntungan kepada sesiapa. Mungkin anda tidak percaya cerita ini, tetapi ianya berlaku samada si suami sedar atau tidak. Nasihat blog ini- tukar cerita kepada cerita-cerita positif. Ceritakan kepada kawan-kawan kebaikan isteri kita (rahsiakanlah kelemahan isteri).

3. Buat endah tidak endah keperluan isteri
Isteri mengharapkan sokongan suami di Tanah Suci. Kesannya lebih terasa jika si isteri terpaksa meninggalkan anak-anak kecil bagi misi Haji Mabrur. Layanlah isteri sebaik mungkin. Nasihat blog ini- cintailah isterimu dan selamilah perasaannya. Bukan mudah seorang wanita bernama ibu meninggalkan anak-anak jauh darinya. Ambil berat kebajikan isteri kerana titian Haji Mabrur menuntut kedamaian hati dan fikiran.

4. Melarang isteri beribadat
Perkara ini ada berlaku tetapi kebarangkaliannya kecil. Cuba gambarkan situasi ini.
**Si isteri dilarang sholat di Masjidil Haram kerana si suami tidak mahu sholat di tempat mulia ini. Akibat ego melampau, si suami memberi kata-dua iaitu “jika kamu pergi juga sholat di Masjid tanpa kebenaran saya, maka jatuhlah talak.” ** Astaghfirullah! Apalah punya suami, ego tidak kena tempat! Sudahlah si suami tidak mahu melipat gandakan amalan , si isteri pula dilarang untuk memajukan diri. Kalau nak sholat di dalam bilik, tidak perlulah susah-susah datang ke Mekah. Nasihat blog ini- Percayalah kepada isteri anda dan bantulah amalan isteri anda. Jika anda (si suami) uzur (sakit) dan tidak mampu untuk ke Masjid, maka amanahkanlah kawan-kawan isteri yang tinggal sebilik untuk menemani isteri ke Masjid. Tidak perlulah menambahkan tekanan emosi ke atas isteri anda.

Akhir madah, wujudkan keceriaan bersama. Layanlah isteri seolah-olah anda dalam tempoh honeymoon dan Kasihanilah isteri kerana mereka juga mahu mengejar Haji mabrur.

InsyaAllah, bersambung tips Haji #6 di tulisan akan datang ...


rehatku cuma di alam barzakh - ridz

No comments: