Followers- Jalinan Ukhuwah

Thursday, October 16, 2008

Tips Haji Siri #2

Saudara/i pembaca dan bakal Tetamu Allah,

Kelmarin, guru saya menghubungi saya. “Ridzwan, bila hendak berkongsi persediaan ruhiah untuk jamaah haji? Perlu segera menulis dalam blog sekarang kerana jamaah akan berangkat 2 minggu lagi”.

Maha Suci Allah, saya memohon keampunan Nya. Saya amat lalai.

Dua orang guru saya iaitu al-fadhil ustaz Hj Samsudin Sidek (Ahli Panel Muzakarah Haji Msia) dan al-fadhil ustaz Zakuan Tak adalah dua insan yang memberi sumbangan besar kelahiran buku Haji Muda. Saya berdoa moga Allah memanjangkan usia kedua-dua guru saya ini kerana ilmu dan pengalaman mereka amat bermakna buat jamaah haji dan umrah Malaysia.

Saya rasa terpanggil untuk meneruskan tip Haji #2 untuk jamaah yang bakal berangkat tidak lama lagi. Sebahagian dari tip-tip Haji telah saya kongsikan di dalam buku Haji Muda. Di kesempatan ini, saya ingin melanjutkan nasihat guru saya untuk segera berkongsi agar jamaah Haji Malaysia benar-benar bersedia meniti renjisan Haji mabrur.

Saudara/i pembaca,
Allah sayang kepada kita, maka Allah memberi kita rezeki untuk meneruskan kehidupan ini. Ibn Taimiyah pernah menyebut ”Aku malu dengan Allah bila menikmati rezekinya, sedangkan aku amat lalai untuk bertemu dengannya di dua pertiga malam”. Subhanallah, Maha Suci Allah yang telah menjanjikan ketenangan dengan butiran kristal ruhiah yang kita sering lalai dari mengejarnya. Pelbagai alasan diberi. Penat, perlu rehat, esok hari bekerja dan pelbagai alasan untuk mengesahkan justifikasi nafsu diri. Saya termasuk dalam golongan ini, astaghfirullah.

Ketika saya menunaikan Haji, kemampuan fitness ruhiah tidak saya usahakan bersungguh-sungguh ketika di tanahair. Alasan di atas mengiyakan kehendak diri. Dengan lain perkataan, nafsu amat dominan dalam diri . Bagi saya solat malam boleh dilakukan bila tiba di Tanah Suci nanti. Saya silap, kerana saya jahil dan tiada insan yang bersungguh-sungguh memaksa saya melakukan solat malam sebelum berangkat.

Subhanallah, Maha Suci Allah. Bakal jamaah disarankan meneliti diri sendiri dan berusaha keras untuk melaksanakan solat malam sebagai latihan untuk memperolehi ganjaran amat besar di Mekah dan Madinah. Justeru, dikesempatan ini, blog ini menjemput pembaca dan bakal jamaah untuk mempertimbangkan tip-tip berikut:

1. Berusaha keras untuk bangun malam setiap malam jam 4.30 atau 5 pagi

Bakal Jamaah disarankan untuk melatih diri untuk bangun tengah malam khususnya sejam sebelum Subuh. Latihan ini bertujuan supaya jamaah benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran di Mekah dan Madinah. Ketika di Tanah Suci nanti, anda terpaksa bangun lebih awal daripada waktu yang penulis sarankan atas beberapa sebab antaranya:
a) Anda akan berebut untuk memasuki bilik air untuk membersihkan diri sebelum ke Masjid (bagi jamaah yang berkongsi bilik air).
b) Anda seharusnya berlumba-lumba untuk mendapat tempat yang terbaik ketika di dalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.
c) Anda terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk tiba ke Masjid (khususnya di Mekah- sila rujuk perjalanan umrah 2008 dalam kategori Haji/Umrah dalam blog ini).
d) Cuaca sejuk di Mekah & Madinah (Waktu musim haji 2008/1429H adalah musim sejuk). Suasana sejuk di pagi hari di Malaysia mampu memberi anda sedikit latihan suasana dingin di Saudi nanti.

Bagaimana hendak bangun di waktu ini?

a) Usaha dapatkan dan amalkan beberapa zikir dan doa untuk bangun tengah malam (sila rujuk ustaz / ustazah)
b) Niat dalam diri untuk bangun tengah malam
c) Sediakan jam loceng lebih dari satu. Satu jam setkan waktu 4.30pagi dan satu lagi 5 pagi. Set waktu yang berbeza dan letakkan jauh dari kepala anda. Ini akan menjemput anda untuk bangun mencari jam loceng tersebut bila berbunyi. Mungkin anda akan ‘off alarm’ set jam pertama. Jika ini berlaku, satu lagi jam loceng menanti anda jam 5 pagi. Kalau itupun anda ‘off alarm’ dan meneruskan tidur anda, maksudnya anda belum benar-benar bersedia untuk melatih diri anda. Cabaran di Tanah Suci lebih besar dari ini. Ia menuntut pengorbanan.



2. Belajar solat-solat sunat

Bakal tetamu Allah sudah sepatutnya melengkapkan diri dengan kefahaman cara-cara menunaikan solat-solat sunat. Ramai jamaah yang tidak bersedia dengan ilmu dan kefahaman untuk melaksanakan solat-solat sunat. Pernah seorang insan bertanya saya di Masjid Nabawi, ‘Datang awal ke Masjid Nabawi nak buat apa? Nak solat apa? Allahu akbar. Ruginya insan ini. Anda akan rasa rugi bila anda gagal memanfaatkan 40 hari di Tanah Suci. Rugi yang teramat sangat!

Jadi, jangan malu untuk belajar. Jangan malu untuk bertanya. Usahakan sekarang. Biarlah orang sekeliling ketawakan anda, sebab mereka tidak mendapat apa-apa faedahpun jika ketawakan atau memperli anda. Anda mahu melakukan yang terbaik, di bumi yang terbaik , berhampiran insan yang terbaik Rasululah saw dan di tempat semulia-mulia. Perlu ingat, anda adalah insan terbaik tahun ini sebab anda adalah Tetamu Allah! Justeru, mesti usaha sekarang.

Hidayah dan as-sakinah tidak datang secara subsidi...mesti ada usaha, perancangan dan kesungguhan.

Rehatku Cuma di alam barzakh –
Ridz

InsyaAllah bersambung Siri Tip-Tip Haji #3 ….

No comments: