Pembaca blog meniti renjisan kedamaian yang dimuliakan,
Perjalanan Haji menuntut tahap kesabaran yang tinggi. Buku Haji Muda menyebut bahawa ujian Allah akan bermula sebaik-baik anda mendaftar untuk menunaikan Haji. Haji Muda juga menyentuh bahawa Perjalanan Haji menuntut kestabilan emosi. Tahap ujian juga berbeza antara seorang jamaah dengan yang lain.
Ketika menghadiri rumah terbuka petang tadi, satu cerita dikongsikan dengan saya. Kisah ini baru seminggu-dua berlaku, Kisah Kakak F yang amat menyentuh hati.
Kakak F telah berjaya melepasi ujian kesihatan dan sudah bersiap untuk ke Tanah Suci. Walaupun tanpa suami, urusan tiga anak gadis yang bakal ditinggalkan juga sudah diperhalusi. Semua urusan rasmi termasuk buku kesihatan, gelang TH , wang dan keperluan-keperluan lain juga sudah disediakan. Sudah tentu kakak F tidak sabar-sabar untuk menyahut seruan Labaikallahu malabaik....
Kakak F juga serius memantapkan rohani dengan meningkatkan amalan. Di takdirkan, ketika menunaikan sholat Subuh di Masjid bersama-sama anak-anaknya, rumah kakak F dipecah masuk oleh pengkhianat bangsa. Beberapa barang berharga termasuk barang kemas telah dicuri. Lebih mendukacitakan bila satu beg penting mengandungi buku kesihatan, gelang TH dan barang-barang keperluan Haji turut dilarikan.
Subhanallah, kehilangan ini amat perit bagi seseorang jamaah Haji. Kakak F terpaksa menjalani proses yang beliau sudahpun lulus. Mungkin sekadar gelang dan dokumen-dokumen Haji boleh diganti, namun tahap kesihatan tiada siapa boleh gerenti. Ya! Beliau terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan sekali lagi bagi mendapat pengesahan tahap kesihatan. Lebih sengsara, beliau telah dua kali gagal melepasi pemeriksaan darah tinggi. Saya yakin tekanan darah tinggi meningkat disebabkan faktor emosi bukan disebabkan beliau berada di tahap kesihatan yang kurang memuaskan.
Sidang pembaca,
Segelintir di kalangan kita mungkin berpendapat bahawa kisah begini adalah hukuman Allah. Saya melihat perkara sebegini dari perspektif positif bahawa Allah menguji kakak F kerana Allah menyayangi beliau. Allah tidak menghukum beliau namun saya yakin Allah sayang kepada hambanya. Bukan mudah untuk melepasi ujian hebat ini.
Dikesempatan ini saya memohon sidang pembaca budiman,
hulurkanlah doa ikhlas supaya Allah mempermudahkan kakak F untuk lulus ujian kesihatan dan emosi ini. Saya tidak mengenali beliau dan anda semua juga tidak mengenali beliau. Di Hari Mahsyar nanti kita juga saling tidak mengenali, namun secebis doa dan amalan murni akan meringankan bebanan kita. Hari ini kita doakan insan yang kesempitan, nescaya bila kita dalam kesulitan maka ramai insan lain akan mendoakan kita. Moga doa saudara/i pembaca budiman dapat membantu kakak F.
Ya Allah! Kau tabahkanlah hati kakak F dan Kau izinkanlah dia menjadi tetamuMu. Amin!
Rehatku Cuma di alam barzakh.....ridz
1 comment:
assalamualaina wa ala ibadillahissolihin..
ameen..mudah2n
Post a Comment