Followers- Jalinan Ukhuwah

Thursday, October 2, 2008

RM3 dan Titian Sirat

Apa yang anda boleh beli dengan nilai RM3?

Soalan yang mudah untuk dijawab. Parking kereta di pusat membeli belah sahaja mungkin melebihi RM3, nasi lemak RM3 sekadar nasi lemak biasa, kos “Tolong Orang Lumayan” (TOL) untuk ke pejabat melebihi nilai RM3 sehari . Ya , inilah nilai RM3!

Dua hari lepas, saya menerima email dari seorang insan yang saya tidak kenali bernama Pn Sham seksyen 9 Shah Alam. Teks ringkas beliau “Tuan, minta tolong hantarkan 3 naskah buku Haji Muda kalau boleh sebelum Raya” dan ditinggalkan no hp 012-xxxxxxx.

Saya terus menghubungi beliau dan meminta alamat rumah untuk penghantaran. Selepas sholat Asar, saya menghantar buku Haji Muda ke alamat tersebut dan beliau serta anak menunggu kehadiran saya. “Saya beri RM60, kalau ada lebih sedekahkan kat Masjid”, nada beliau serius dan ikhlas. Mungkin beliau sibuk membuat persiapan Raya, jadi fikiran tidak fokus. Cuma saya terpaksa fokus ketika itu dengan arahan memberi baki RM3 ke mana-mana Masjid. Bukan apa walaupun nilainya kecil RM3 tapi amanah ini besar, takut-takut saya terlupa. Alhamdulilah, kelmarin saya telah menyampaikan amanah beliau di sebuah Masjid. Moga pahala dan ganjaran diberikan oleh Allah kepada beliau dan keluarga.

Ya, berapa sebenarnya nilai RM3? Mengikut perhitungan saya dan mungkin sdr/i , nilai RM3 seolah-olah tiada nilai. Ketika Hari Raya Aidilfitri tahun 70an, RM3 hanya boleh diperolehi bila saya menjelajah kampong, itupun kalau rasa tak malu! Ketika itu purata duit raya sekadar 20 sen sebuah rumah. Kini, duit raya RM3 boleh dikatakan kecil.

Jadi adakah RM3 ada nilai?

Cuba bina mental picture 1 berikut:
‘Tuan/Puan, Perjalanan meniti titian siratul mustaqim adalah selama 1500 tahun. 500 tahun pertama kita akan mendaki, 500 tahun kedua kita berjalan berasak secara mendatar dan selebih 500 tahun kita akan meneruni bukit titian sirat”, begitulah ucapan ceramah Ustaz Zahzan Mohamad ketika dijemput berceramah di Menara TM 22 Ramadhan lalu.

Walaupun saya belum pernah dengar cerita ini, saya menyakini penerangan ustaz. Saya teringat zaman kanak-kanak dulu arwah nenek selalu sebut bahawa titian sirat ini amat halus bagai rambut yang dibelah tujuh!

Cuba bina mental picture ke 2:
Kita sedang mengayuh basikal menaiki bukit, sudah tentu lengoh kaki. Apa kata kalau kita berkayuh selama 500 tahun mendaki bukit. Allahu Akbar! Siapa agaknya yang boleh menolong kita waktu itu?

Ya RM3 sebenarnya ada nilai! Tiada siapa yang mampu membantu kita di perjalanan titian sirat kecuali jika sebahagian amalan bersedekah kita amalkan dengan ikhlas. Jika kita benar-benar ikhlas memberi RM3 di jalan Allah, sudah tentu rahmah dan kasih sayang Allah akan menemani kita. Walaupun amaunnya kecil tapi impaknya besar. Mungkin RM1 Allah akan meringankan kita ketika mendaki titian sirat, RM1 lagi untuk keringanan berjalan di fasa mendatar dan baki RM1 lagi dimudahkan perjalanan meneruni bukit titian sirat. Allahu Akbar!

Moga kita perbanyakkan sadaqah mengikut kemampuan. Tahniah juga kepada Pn Sham bukan sekadar mendapat buku Haji Muda tetapi bakal menerima ganjaran dari Allah di Yaumul Mahsyar nanti. Amin.

2 comments:

a.t.u.l.a.s.c.a. said...
This comment has been removed by the author.
a.t.u.l.a.s.c.a. said...

tulisan yang sangat menginsafkan....betul apa yang diperkatakan...amal yang ikhlas walau sedikit di mata kita adalah besar ganjarannya dcc Allah..

em, encik, saya di UKM, bangi...kalau saya nak beli buku haji muda ni, penghantarannya melalui pos atau dihantar terus ke UKM??