Followers- Jalinan Ukhuwah

Monday, November 24, 2008

Tips Haji #12 Jom Rebut Saf

Perkara yang ingin saya kongsikan adalah perkara yang amat mudah untuk dilaksanakan. Cuma kadang-kadang kita agak alpa untuk menguasainya.

Hujung minggu lepas saya membawa dua anak perempuan kecil saya, Wardah Syaurah dan Wardah Sofiya sholat Isya’ di Masjid Negeri Shah Alam. Kedua-duanya melompat kegembiraan bila sebut jom sholat di Masjid Negeri. Tidak tahu pula saya apa yang seronoknya sholat di Masjid Negeri bagi kanak-kanak. Mungkin mereka memerlukan persekitaran baru, luas dan beraircond.

Sofiya yang baru darjah satu itu bertanya ”Ayah, kenapa ada orang perempuan sembahyang tidak penuhkan saf depan?” ”Ada makcik tu pula sembahyang jauh di belakang berkumpul bersama anak-anaknya, boleh ke ayah?” Saya tersenyum dan mula berbisik di hati ”Elok juga bawa anak-anak kecil ke Masjid glamour ini, mereka boleh belajar dari persekitaran dan proses ini.”

Bila sebut bab Saf sholat, maka saya terbayang nikmatnya sholat depan kaabah. Saya ada berkongsi bagaimana hendak susun strategi tektikal sholat depan kaabah di dalam buku Haji Muda.

Secara ringkasnya, amalan dan sikap kita sholat di Malaysia akan mempengaruhi cara kita bertindak untuk sholat ketika di Mekah dan Madinah nanti. Empat sikap yang kita sedia maklum sudah sebati dalam diri kita:
i. Tiada ’sense of urgency’ untuk ke Masjid/surau.
ii. Tidak mahu berebut saf pertama sholat
iii. Tidak merapat diri bagi menyusun saf sholat
iv. Bersahaja ketika bilal melakukan iqamah.

Di kesempatan ini, saya ingin berbicara mengenai 2 dari 4 perkara di atas.

1. Pertanyaan Sofiya memberi gambaran tabiat orang perempuan Malaysia juga rupa-rupanya sama dengan orang lelaki. Kita kurang berusaha untuk berebut saf di hadapan sekali. Banyak kali saya perhatikan jika ada satu ruang kosong, jamaah lelaki kita lebih suka menyuruh orang lain ke hadapan memenuhkan saf. Kadang-kadang berlaku ‘ tolak-menolak’ kerana sama-sama tidak mahu mengambil peluang pahala saf pertama ini. Sikap merendah diri yang diamalkan ketika peluang ini muncul perlu di tolak tepi. Kita tidak seharusnya berasa berpuas hati berada di saf kedua atau di saf belakang (muhasabah ini untuk diri penulis juga).

Haji Muda membawa misi agar kita memperbaiki sikap dan amalan kita (termasuk diri penulis). Jika kita sudah melakukan perubahan ini, Alhamdulilah. Jika belum, ayuh berazam dengan penuh kesungguhan untuk sembahyang di saf hadapan setiap kali sholat. Ayuh Jom segera berebut ke hadapan kerana suasana ini bakal anda tempuhi bila di Tanah Suci nanti. Semangat Jom segera ke hadapan akan juga mampu membawa refleksi positif untuk ke hadapan dalam setiap apa yang bakal kita usahakan. Sholat perlu diterjemahkan ke dalam kehidupan harian kita.

2. Mengapa perlu sholat di bahagian belakang terpisah dengan saf utama? Mengapa tidak rapatkan saf?

Setiap kali sholat jumaat, anak-anak muda kita akan bersholat di belakang. Bila soalan ini ditanya, alasannya ialah untuk mudah keluar, mengantuk dsbnya. Juga, tidak perlulah kita berkumpul satu keluarga bila melakukan sholat. Sebaiknya, kita penuhkan barisan hadapan dan cuba rapatkan saf. Juga kita hendaklah berlapang dada bila menerima teguran dan bersedia menerima nasihat untuk kebaikan. Bila kita mampu membaiki diri dan amalan kita, nescaya kita akan mendapat sholat yang terbaik di Tanah Suci nanti.

Kepada bakal tetamu Allah, ambillah kesempatan untuk ‘berebut saf’ hadapan bila berada di Tanah Suci nanti.

Mutiara Bicara:
Kita seharusnya membantu diri kita untuk merebut peluang di saf pertama setiap kali sholat jamaah di masjid. Seterusnya, kita bersama-sama berganding bahu dengan jamaah lain untuk merapatkan saf. Dengan latihan berterusan begini, insyaAllah kita akan mampu berhadapan dengan suasana sholat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

1 comment:

NaniRostam said...

Salam.

1. Saya memang suka solat dimasjid bersama imam. Seronok.khusyuk.Syaitan susah nak ganggu.Tetapi saya wanita solat di rumah lebih afdal.Tetapi solat di rumah tu, saya memang selalu berazam dengar azan nak bersolat awal waktu, tapi dalam perjalanan nak ambik wuduk pun boleh melencong sana melencong sini akhirnya solat bukan di awal waktu.Selalu macam tu.

2. Betul kata anda.Bila saya berpusu-pusu menuju saf paling hadapan semua macam pandang saya.Bila saya sampai saf paling depan belum penuh sebab semua lebih suka dibelakang.Bukankah saf yang paling baik adalah yang paling hadapan?

3. Kalau tak silap, bukankah sepatutnya saf kita hendaklah rapat-rapat iaitu bahu bertemu bahu?

Saya memang selalu berazam mahu menunaikan haji di mekah bila cukup duit.

Tapi bila dah cukup duit saya macam terlalai.Rasa macam belum waktunya. Bila duit dah habis hati saya meronta-ronta berazam untuk ke sana bila cukup duit nanti.

Terima kasih.Singgah diblog anda membuat hati saya begitu teringin mengerjakan gaji ke tanah suci.Insyallah.Mudah-mudahan termakbul hendaknya.