Followers- Jalinan Ukhuwah

Tuesday, November 11, 2008

Tips Haji #10 Perjalanan Emosi

Assalamualaikum pengunjung setia,

Haji adalah Perjalanan Emosi.

Alhamdulilah, rakan saya Sdr Faris dan isteri akan berangkat ke Tanah Suci minggu ketiga Zulkaedah. Melangkah pada usia 33 tahun menuntut pengorbanan emosi.

Kelmarin sdr Faris menyebut
”Terima kasih tuan kerana berkongsi cabaran Haji di dalam buku Haji Muda. Hampir setiap hari saya menyemak balik buku Haji Muda kerana semakin hampir tarikh penerbangan, semakin berdebar hati saya. Seketika saya merasakan bahawa saya sudah bersedia, dan diketika lain saya merasakan bahawa banyak lagi perkara yang saya belum bersedia.”

Perkongsian Faris mengundang saya untuk melakarkan sesuatu di blog ini. Ya saya mengakui cabaran emosi yang bakal ditempoh oleh bakal tetamu Allah. Cabaran emosi bukanlah sesuatu yang buruk. Ianya sebuah perasaan yang berputik dari sifat kasih sayang. Meninggalkan anak-anak kecil untuk perjalanan Haji sememangnya menjemput mainan emosi. Perjalanan Haji bukanlah perjalanan pelancongan. Perjalanan Haji bagi jamaah Malaysia adalah perjalanan yang panjang (maksimum 44 hari).

Blog ini ingin mengusulkan tips berikut:
1. Hargailah masa dengan insan tersayang di saat ini sebelum anda melangkah ke Tanah Suci.
2. Amanahkan keluarga terdekat untuk menjaga anak-anak anda (InsyaAllah ramai ahli keluarga dan rakan-rakan akan membantu).
3. Tinggalkan wang secukupnya untuk anak-anak anda
4. Doakan keselamatan anda dan anak-anak yang anda tinggalkan.
5. Amanahkan anak sulung (jika ada beberapa anak) untuk menjaga adik-adiknya.
6. Usah runsing dengan mereka. Mereka sebenarnya gembira anda di dalam perjalanan meniti Haji mabrur. Kerunsingan ini akan sedikit sebanyak menganggu fokus ibadah di tanah suci.

7. Bawa handphone bergambar untuk komunikasi 3G di sana (kos agak tinggi).
8. Sholat berjamaah bersama-sama insan tersayang sebelum anda berangkat keluar dari rumah.
9. Tidak perlu membawa anak-anak kecil anda di TH Kelana Jaya/ Pusat Pendaftaran Haji.
10. Yakinkan diri bahawa Allah tempat saya berserah.
11. Buku Haji Muda mencadangkan anda menulis skrip doa arafah. Jika anda masih belum melakukannya, buatlah sekarang atau mungkin juga boleh berbincang dengan isteri di dalam pesawat nanti.

Kepada sdr Faris dan isteri serta bakal jamaah Haji yang lain, Selamat berangkat moga Allah permudahkan perjalanan anda di sana. Anda perlu melakukan satu pengorbanan yang besar untuk memperolehi misi Haji mabrur. Pengorbanan ikon Ibrahim a.s yang terpaksa meninggalkan insan tersayang atas perintah Allah. Kini anda pula melakukannya dari perspektif moden.

Salam.

2 comments:

Anonymous said...

apakah yang dimaksudkan haji mabrur? Sekadar berkongsi.

Haji mabrur tidak mungkin dapat diketahui kerana Allah sahaja yang mengetahui sejauh mana keihklasan dan kesempurnaan haji yang dilakukan.

Tetapi tidak tahu itu sekadar hanya pada virtualnya. Namun hakikatnya KITA MAMPU UNTUK MENGETAHUINYA.

Bagaimana?
Haji mabrur mempunyai kesan yang tinggi dan mendalam kepada setiap insan yang telah menunaikan haji. Jika perubahan seperti sikap masih sama sebelum dan selepas, bolehkah kita mengatakan hajinya mabrur?

Alasan yang biasa adalah, kita tidak boleh kata haji mabrur atau tidak kerana ia adalah perkara ghaib

Namun dari segi sikap, haji mabrur PASTINYA AKAN MENGUBAH SIKAP SESEORANG kepada yang lebih baik dari sebelumnya. Allah tidak akan mensia-siakan hati orang yang ikhlas dan sayang serta cinta pada diriNya.

Maka untuk mengetahui bahawa haji yang ditunaikan mabrur atau tidak, lihatlah perubahan pada haji-haji yang telah menunaikan ibadah haji samada terdapat perubahan sikap atau tidak.

Jika tidak, mudah dijawab, tidak makbullah doa yang dipintanya dan tiada kesan ibadah haji ke atas dirinya.

fikir positif dan hidup BerTuhan.
fuad latip
http://www.fuadlatip.com

Anonymous said...

Salam tuan Fuad Latip,
Jazakallahu khair dgn perkongsian tuan dalam blog ini.

Blog ini berusaha untuk memandu bakal tetamu Allah supaya bekerja keras mengejar Haji mabrur. Bukan mudah utk memperolehinya tetapi boleh diusahakan.

Kita juga perlu mengikhlaskan hati dan tidak menghukum insan yang tidak menunjukkan perubahan selepas kembali dari Tanah Suci. Amalan dan isi hati mereka adalah antara mereka dengan Allah.

Salam.